BATU KAWAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkukuh inisiatif Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) sebagai gerakan nasional bagi meningkatkan keyakinan, penggunaan dan pembelian produk tempatan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pendekatan itu bukan sekadar menggalakkan rakyat membeli produk buatan Malaysia, sebaliknya turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh jenama tempatan, meningkatkan daya saing usahawan serta membuka akses pasaran ke peringkat nasional dan global.
Menurutnya, usaha berkenaan penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang konsisten turut memberi manfaat kepada rakyat, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Jadi, kita perlu rangkumkan keseluruhan produk Malaysia yang ada dan memperluas pasaran, bukan hanya mewujudkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.
“Ia bukan soal rakyat membeli, tetapi membina keyakinan terhadap produk Malaysia dan pada masa sama membantu produk tempatan dipasarkan ke luar sempadan negara,” katanya.
Beliau berkata, gerakan JOM MALAYSIA bukan program 'one-off' atau sekali sahaja, sebaliknya akan diteruskan menerusi pelbagai mekanisme termasuk penganjuran festival dan program berkaitan.
Katanya, Festival JOM MALAYSIA bukan sekadar menjadi platform untuk mempamerkan produk tempatan, tetapi turut berperanan menyemarakkan semangat patriotisme ekonomi serta meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan menyokong produk buatan Malaysia.
Dalam pada itu, Armizan berkata penubuhan Jawatankuasa Kabinet Bagi Memperkasa Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada 15 Julai lalu turut menjadi antara langkah penting dalam memperkukuh agenda berkenaan.
Katanya, jawatankuasa itu bertujuan memperkemas hala tuju dan penyelarasan antara kementerian serta agensi kerajaan, termasuk meningkatkan nilai jualan domestik dan eksport selain mengurangkan kebergantungan kepada import.
Beliau berkata KPDN turut akan meneruskan pelbagai inisiatif strategik, termasuk kerjasama dengan platform e-dagang bagi memperluas capaian pasaran digital produk Malaysia.
Armizan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Festival JOM MALAYSIA Pulau Pinang 2026 di Pekarangan Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, pada Sabtu.
Turut berlangsung, sesi penyerahan pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada MILDEF International Technologies Sdn Bhd di atas pencapaian pembuatan kereta perisai pertama buatan Malaysia.
Pencapaian ini mencerminkan keupayaan teknologi, kepakaran dan komitmen MILDEF dalam membangunkan industri pertahanan tempatan serta mengangkat produk pertahanan Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Festival JOM MALAYSIA Pulau Pinang 2026 berlangsung dari 17 hingga 20 September dan merupakan siri ketiga serta terakhir bagi tahun ini.
Antara pengisian menarik festival berkenaan ialah Program Jualan RAHMAH MADANI, pameran agensi kerajaan dan Festival Pengguna (CONFEST) 2026.