SUNGAI UDANG: Pengalaman pertama kali menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi menjadi detik istimewa buat tiga beradik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.
Abang sulung, Muhammad Fakhrul Naim Umar, 22, berkata, dia tiba di Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam Ulu kira-kira jam 10 pagi selepas selesai menjalani syif malam di sebuah kilang.
Walaupun baru menamatkan tugas pada jam 7 pagi, keadaan itu tidak menghalangnya untuk hadir bersama dua adiknya yang turut pertama kali mengundi selain turut ditemani ibu mereka.
Harapan Muhammad Fakhrul, keputusan PRN kali ini dapat menghasilkan kepimpinan yang mampu membawa perubahan, khususnya dalam aspek ekonomi.
“Harapan saya, semoga mereka yang diberi mandat sebagai wakil rakyat dapat memperbetulkan lagi keadaan ekonomi yang sedia ada sekarang.
“Saya harap pilihan yang saya buat tidak salah kerana akhirnya kita nak pemimpin yang dapat menyumbang sesuatu untuk masa depan kami ,” katanya ketika ditemui di pusat pengundian berkenaan.
Bagi adiknya, Muhammad Farish Nazhan Umar, 18, pendedahan mengenai calon bertanding menerusi media sosial termasuk TikTok menjadi antara sumber rujukan sebelum menentukan pilihan.
Namun, pengalaman keluarganya menerima bantuan makanan ketika dia masih bergelar pelajar turut memberi kesan terhadap keputusan yang dibuat.
“Sudah pasti saya memilih mereka yang pernah bantu keluarga saya dan bantuan itu saya terjemahkan di kertas undi,” katanya.
Sementara itu, Bibi Farhana Najwa Umar, 21, berkata, keputusan untuk hadir pada sebelah pagi dibuat bagi mengelakkan kesesakan pada waktu tengah hari atau petang.
Katanya, pengalaman mengundi secara beramai-ramai bersama keluarga menjadikan hari berkenaan lebih meriah, apatah lagi buat mereka yang baru pertama kali melalui proses demokrasi itu.
SK Bertam Hulu merupakan salah satu pusat pengundian bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang.
Pada PRN kali ini, DUN Sungai Udang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Rais Yasin, Mejar Bersara Abdullah Mahadi daripada BERSATU dan Mohd Ridzuan Abdul Rahman daripada BERSAMA.