KUALA LUMPUR: Unjuran pendapatan sesaham (EPS) Gas Malaysia Bhd. bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dikurangan sebanyak 0.3%, setelah CGS-CIMB mengambil kira pelaksanaan Cukai Makmur.

Bagaimanapun, unjuran EPS bagi FY21 dan FY23 masing-masing dinaikkan sebanyak 9% dan 7% yang mencerminkan margin kasar yang tinggi daripada kecekapan operasi dan perniagaan yang tidak dikawal.

Penganalisisnya, Ngo Siew Teng berkata, saham Gas Malaysia masih kekal dengan saranan 'tambah' yang menggambarkan pendapatan stabil dan dividen lebih baik sebagai pemangkin kepada penarafan semula.

"Harga sasaran (TP) turut disemak lebih tinggi kepada RM2.99 berbanding RM2.97 sebelum ini, memandangkan kami melancarkan TP kami pada akhir FY22 dan penilaian bagi FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.

Gas Malaysia mengumumkan laporan kewangan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, Jumaat lalu, yang menyaksikan untung bersihnya meningkat kepada RM62.36 juta daripada RM50.91 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Pendapatan, bagaimanapun, meurun kepada RM1.38 bilion daripada RM1.72 bilion sebelum ini sejajar dengan purata tarif gas asli dan jumlah penjualan gas asli yang lebih rendah, dikurangkan oleh pengiktirafan pelarasan had perolehan pada suku tahun semasa.

Bagi tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 30 September 2021, ia merekodkan untung bersih sebanyak RM180.33 juta daripada RM143.39 juta bagi tempoh sama sebelum itu. Sebaliknya, pendapatan susut kepada RM3.91 bilion berbanding RM4.87 bilion.

"Pendapatan teras bagi tempoh 9 bulan Gas Malaysia adalah melebihi jangkaan, pada 87% daripada anggaran tahun penuh kami dan 81% daripada anggaran konsensus Bloomberg disebabkan margin kasar yang lebih tinggi dan kos kewangan lebih rendah daripada jangkaan," katanya.

Siew Teng berkata, pengeluar produk berasaskan getah dan pengguna merekodkan jualan gas terbesar bagi Gas Malaysia pada suku ketiga.

Katanya, syarikat menyasarkan untuk memperoleh 50 pelanggan baharu perindustrian pada FY21 dan telah memperoleh 34 pelanggan baharu dalam tempoh 9 bulan.

"Gas Malaysia menjangkakan jualan gas akan kembali pulih pada suku keempat berbanding suku sebelumnya, berikutan pembukaan semula ekonomi.

"Ia juga menjangkakan margin kasar akan kekal stabil selepas pasaran gas tempatan diliberalisasikan sepenuhnya pada 2022, memandangkan kelebihan daya saingnya dari segi kos gas yang rendah berbanding pesaing disebabkan skala perniagaannya," jelasnya.

Setakat 11 pagi ini, harga saham Gas Malaysia menokok 2 sen atau 0.74% kepada RM2.71 dengan 7,700 saham diniagakan.


*Berita asal di DagangNews.com