China perkenal peraturan kawal selia amalan penetapan harga platform internet

Garis panduan yang lebih jelas disediakan mengenai amalan penetapan harga oleh pengendali platform dan peniaga bagi menggalakkan persaingan yang adil. - Gambar hiasan
BEIJING: China pada Sabtu mengeluarkan peraturan baharu bagi mengawal selia amalan penetapan harga oleh platform internet, sebagai langkah untuk memupuk inovasi dan menggalakkan pembangunan ekonomi platform yang mampan, lapor Xinhua.
Peraturan itu dikeluarkan secara bersama oleh Suruhanjaya Pembangunan dan Reformasi Negara, Pentadbiran Negara bagi Kawal Selia Pasaran, dan Pentadbiran Ruang Siber China. Ia bertujuan menyelaraskan tingkah laku penetapan harga, meningkatkan ketelusan, serta memperkukuh mekanisme penyelarasan bagi mewujudkan ekosistem platform yang teguh.
Di bawah peraturan berkenaan, garis panduan yang lebih jelas disediakan mengenai amalan penetapan harga oleh pengendali platform dan peniaga bagi menggalakkan persaingan yang adil.
Peraturan itu turut memperkukuh perlindungan terhadap hak penetapan harga secara bebas oleh peniaga dengan melarang secara jelas pengendali platform daripada mengenakan sekatan yang tidak munasabah atau meletakkan syarat yang tidak adil terhadap keputusan harga peniaga.
Selain itu, peraturan terbabit bertujuan melindungi hak dan kepentingan sah pengguna dengan menguatkuasakan pelabelan harga yang jelas, mempromosikan ketelusan dalam mekanisme harga dinamik serta terbeza, dan mengawal selia perkhidmatan seperti pembayaran tanpa kata laluan, pembaharuan automatik serta potongan tanpa diminta bagi menjamin hak maklumat serta pilihan pengguna.
Peraturan ini akan mula berkuat kuasa pada 10 April 2026. Pihak berkuasa berkaitan akan meminta pengendali platform utama untuk menjalankan pemeriksaan kendiri selaras dengan piawaian kawal selia bagi memastikan pelaksanaan yang sewajarnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


