Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, 55 tahun, akan bersara berkuatkuasa 31 Disember ini.

Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal merangkap Pengerusi JCorp berkata jawatan Kamaruzzaman itu akan dipangku naib presiden bahagian tanggungjawab korporat JCorp, Bukhari Abdul Rahman.

"Semua operasi perniagaan JCorp berjalan seperti biasa dan pelantikan Presiden dan Ketua Eksekutif yang baharu bagi menggantikan Kamaruzzaman akan dibuat dalam masa terdekat.

"JCorp merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada beliau atas sumbangan yang diberikan sepanjang perkhidmatan bersama JCorp selama ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Sahruddin, selama hampir tiga dekad bersama JCorp, Kamaruzzaman telah mencurahkan khidmat bakti bermula daripada beberapa peranan dalam jabatan kewangan sehingga mengisi jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi pada 2006 dan menggalas tanggungjawab sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp pada Disember 2010.

Jelasnya, sepanjang tempoh perkhidmatannya, Kamaruzzaman telah menjadikan JCorp sebagai badan pelaburan negeri yang sangat dinamik di negara ini.

Katanya, JCorp juga berjaya menempuh krisis kewangan global pada 2008-2009 di bawah pimpinan Kamaruzzaman.

"Dalam tempoh kepimpinan beliau juga, nilai aset bersih kumpulan juga terus meningkat sehingga tahun kewangan 2018," katanya.

Di bawah pentadbirannya, Kamaruzzaman berjaya mengubah perniagaan teras JCorp seperti Kulim (Malaysia) Bhd, QSR Brands (M) Holdings Bhd dan KPJ Healthcare Bhd menjadi entiti yang kukuh dan pelbagai.