Skip to main content

Malaysia

Kawal selia aktiviti LMO/GMO, lindungi alam sekitar dan kesihatan awam

Dr Lornie Enggong -- AWANI PAGI
LORNIE: Biokeselamatan bukan sekadar kawalan teknikal, tetapi sebahagian daripada pendekatan menyeluruh kerajaan dalam memastikan pembangunan sains dan teknologi berlaku secara selamat, terkawal dan mampan.

KUALA LUMPUR: Biokeselamatan kini dilihat sebagai antara komponen penting dalam usaha Malaysia memperkukuh perlindungan kesihatan manusia, tumbuh-tumbuhan, haiwan, alam sekitar dan kepelbagaian biologi, khususnya dalam menghadapi perkembangan pesat bioteknologi moden.

Atas dasar itu, kewujudan Jabatan Biokeselamatan Malaysia (JBK) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), berperanan mengawal selia aktiviti LMO/GMO dan hasilnya di negara ini bagi memastikan keselamatan manusia, tumbuh-tumbuhan, haiwan, alam sekitar dan kepelbagaian biologi.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Biokeselamatan, Dr Lornie Enggong, peranan tersebut dilaksanakan berdasarkan kerangka undang-undang di bawah Akta Biokeselamatan 2007 [Akta 678] yang menjadi asas kawal selia semua aktiviti LMO/GMO dan hasilnya di Malaysia.

Bioteknologi moden merujuk kepada teknik seperti teknologi DNA rekombinan yang membolehkan pemindahan gen bagi menghasilkan ciri baharu dalam  organisma. Namun ia juga mempunyai risiko yang boleh menjejaskan biodiversiti jika tidak dikawal.

"Setiap produk bioteknologi yang ingin dibawa masuk ke pasaran perlu melalui penilaian risiko yang ketat oleh panel pakar yang dikenali sebagai Anggota Jawatankuasa Penasihat Pengubahsuaian Genetik (GMAC) sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya dalam Program AWANI Pagi terbitan Astro AWANI, pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan peranan Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK) sebagai badan utama pembuat keputusan di bawah Akta Biokeselamatan 2007 [Akta 678], termasuk kelulusan import, eksport, pelepasan ke persekitaran serta penggunaan LMO/GMO dalam penyelidikan dan komersial.

"Semua permohonan dinilai berdasarkan aspek saintifik serta impak terhadap kesihatan manusia, tumbuh-tumbuhan, haiwan, alam sekitar dan kepelbagaian selain memastikan Malaysia mematuhi komitmen antarabangsa termasuk Protokol Cartagena mengenai Biokeselamatan," katanya.

Mengulas hala tuju dasar biokeselamatan negara, Lornie berkata Malaysia kekal komited sebagai negara parti  kepada Protokol Cartagena dan terlibat aktif dalam persidangan The Conference of the Parties Serving as the Meeting of the Parties to the Protocol (COP-MOP) bagi memastikan kepentingan biodiversiti negara terus dipertahankan di peringkat global.

“Biokeselamatan bukan sekadar kawalan teknikal, tetapi sebahagian daripada pendekatan menyeluruh kerajaan dalam memastikan pembangunan sains dan teknologi berlaku secara selamat, terkawal dan mampan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, rakyat boleh mendapatkan maklumat mengenai produk LMO/GMO yang diluluskan melalui laman web rasmi Jabatan Biokeselamatan Malaysia di www.biosafety.gov.my, selain melalui platform antarabangsa seperti Biosafety Clearing-House dan FAO GM Foods Platform.

Menurutnya, ketelusan maklumat ini penting bagi memastikan keyakinan awam serta pematuhan terhadap standard keselamatan global dalam pengurusan bioteknologi moden.
 

Must Watch Video