Skip to main content

Teknologi

Spotify lancar ‘Party of the Year(s)’ sempena ulang tahun ke-20

Spotify 20: Party Of the Year(s) Dilancarkan – ‘Wrapped’ Untuk Mengimbas Kembali Semua Muzik Yang Pernah Distrim
Antara sorotan yang dipaparkan termasuk tarikh pendaftaran akaun, jumlah lagu unik keseluruhan yang pernah didengar, lagu pertama yang distrim serta artis paling kerap didengar sepanjang tempoh penggunaan. -Foto Amanz

STOCKHOLM: Platform penstriman audio, Spotify, melancarkan ciri interaktif baharu dikenali sebagai Spotify 20: Party of the Year(s) sempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhannya.

Kemudahan itu berfungsi seperti ciri tahunan “Wrapped”, namun kali ini direka khusus bagi membolehkan pengguna mengimbas kembali sejarah muzik yang pernah distrim sejak hari pertama menggunakan aplikasi itu, lapor Amanz.

Antara sorotan yang dipaparkan termasuk tarikh pendaftaran akaun, jumlah lagu unik keseluruhan yang pernah didengar, lagu pertama yang distrim serta artis paling kerap didengar sepanjang tempoh penggunaan.

Bagi menghargai kesetiaan pengguna, Spotify turut menjana senarai main peribadi mengandungi 120 lagu teratas sepanjang zaman lengkap dengan kekerapan putaran untuk disimpan dalam pustaka digital masing-masing.

Setiap ringkasan turut disertakan fungsi ‘kad perkongsian’ (share card) bagi memudahkan pengguna berkongsi hasil tersebut di platform media sosial seperti Instagram dan X.

Ciri Spotify 20: Party of the Year(s) kini boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih di 144 pasaran global termasuk Malaysia.

Syarikat teknologi dari Sweden itu sebelum ini turut mengeluarkan senarai rasmi lagu, album, artis, podsiar serta kandungan audio lain paling banyak distrim di dunia sepanjang dua dekad lalu sebagai tanda pencapaian dalam industri digital.

 

Must Watch Video