Skip to main content

Malaysia

Tiada pegawai ATM dan staf UNIFIL maut atau cedera akibat insiden letupan dron

[TB]_UNIFIL, MALBATT_MINDEF
Mohamed Khaled berkata, insiden letupan berlaku berhampiran pagar perimeter UNIFIL HQ pada jarak kira-kira 20 meter daripada tempat rehat PST ATM iaitu Malaysia House. - Foto MINDEF.

KUALA LUMPUR: Tiada Pegawai Staf Tentera (PST) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan anggota berkaitan maut atau cedera akibat insiden letupan dron yang tidak dikenal pasti di Naqoura, Lubnan semalam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan kejadian tersebut berlaku pada jam 5.30 petang waktu Malaysia berhampiran Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL HQ).

Menurutnya, insiden letupan berlaku berhampiran pagar perimeter UNIFIL HQ pada jarak kira-kira 20 meter daripada tempat rehat PST ATM iaitu Malaysia House dan telah mengakibatkan kerosakan kecil pada bahagian luar serta dalam bangunan berkenaan.

“Kira-kira jam 5.19 petang (waktu Malaysia), siren amaran telah dibunyikan dan arahan untuk memasuki bunker telah dikeluarkan kepada semua PST yang bertugas di Markas UNIFIL,” katanya melalui kenyataan yang disiarkan hari ini.

Lokasi kem tersebut berada kira-kira 24 kilometer dari Kem Marakah, iaitu penempatan utama MALBATT 850-13 di selatan Lubnan.

“Tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan melibatkan PST Malaysia mahupun staf UNIFIL, memandangkan kesemuanya berada di dalam bunker semasa kejadian berlaku,” katanya lagi.

Mohamed Khaled turut memaklumkan, kawasan sekitar Malaysia House telah ditutup sementara bagi tujuan siasatan dan pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa UNIFIL serta elemen berkaitan.

Pada masa yang sama, penilaian lanjut sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti tahap kerosakan melibatkan struktur bangunan dan peralatan, manakala tindakan susulan berkaitan pembaikan akan diselaraskan melalui elemen MALBATT 850-13.

Tambahnya, Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau rapat situasi semasa di kawasan operasi di samping bekerjasama rapat dengan pihak UNIFIL dan elemen berkaitan bagi memastikan keselamatan anggota Malaysia sentiasa terpelihara.


 

Must Watch Video