Skip to main content

Bisnes

KDNK Malaysia diunjur berkembang 4.9 peratus pada 2026, inflasi meningkat- Tinjauan Ekonomi Malaysia

Luiz de Mello
Menurut Mello, pada masa sama, kadar inflasi diunjurkan meningkat kepada 2.1 peratus pada 2026 dan 2.3 peratus pada 2027, berbanding 1.4 peratus tahun lalu. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

PUTRAJAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun penuh 2026 dijangka berkembang 4.9 peratus, menurut Tinjauan Ekonomi Malaysia Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Pengarah Cawangan Pengajian Negara, Jabatan Ekonomi OECD, Dr Luiz de Mello berkata, unjuran itu mencerminkan daya tahan ekonomi Malaysia yang terus kukuh meskipun negara dberdepan risiko daripada ketegangan perdagangan global, kenaikan harga komoditi serta permintaan dunia yang semakin perlahan.

Kata beliau, pada masa sama, kadar inflasi diunjurkan meningkat kepada 2.1 peratus pada 2026 dan 2.3 peratus pada 2027, berbanding 1.4 peratus tahun lalu.

"Bagaimanapun, Malaysia berjaya meningkatkan pendapatan per kapita pada kadar lebih pantas berbanding kebanyakan negara serantau hasil pertumbuhan ekonomi yang mampan.

"Untuk mengekalkan pertumbuhan yang tinggi dan berdaya tahan, Malaysia perlu mengoptimumkan perbelanjaan serta hasil kerajaan, meningkatkan produktiviti melalui peraturan yang lebih mesra persaingan dan memperkukuh hasil pembelajaran di semua peringkat sistem pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Tinjauan Ekonomi Malaysia, di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mello berkata, usaha memperkukuh kemampanan fiskal perlu dipercepat bagi mengawal paras hutang awam.

Menurutnya, peralihan daripada subsidi tenaga berskala besar kepada bantuan tunai yang lebih bersasar akan memastikan penggunaan sumber awam yang lebih cekap.

Selain itu, pembaharuan sistem percukaian termasuk memperkenalkan semula cukai penggunaan berasaskan luas serta meluaskan asas cukai pendapatan individu mampu meningkatkan kutipan hasil kerajaan.

Laporan itu menurutnya, turut mencadangkan liputan pencen sosial berasaskan ujian kemampuan diperluaskan bagi mengukuhkan jaringan keselamatan sosial, terutama ketika Malaysia berdepan cabaran penuaan penduduk.

"Dalam usaha meningkatkan produktiviti, OECD mengesyorkan halangan kemasukan pelaburan seperti had pegangan ekuiti asing dan syarat yang membebankan terhadap perkhidmatan digital rentas sempadan dilonggarkan," jelasnya.

Menurutnya, langkah itu berpotensi mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global selain mempercepat pemindahan pengetahuan dan inovasi dalam ekonomi digital.

Pada masa sama, kata Mello, OECD mencadangkan persaingan yang lebih adil diwujudkan antara syarikat milik kerajaan (GLC) dan sektor swasta, selain kawalan harga dikurangkan secara berperingkat dan digantikan dengan bantuan bersasar.

"Dari aspek pendidikan, OECD berpandangan reformasi menyeluruh perlu dilaksanakan di semua peringkat.

"Antara cadangan dikemukakan ialah memperkenalkan pendidikan prasekolah percuma dan wajib kepada kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun bagi membina asas pembelajaran yang lebih kukuh.

"Selain itu, insentif prestasi guru perlu dipertingkatkan bersama pemberian autonomi dan akauntabiliti yang lebih besar kepada sekolah bagi meningkatkan kualiti pendidikan rendah dan menengah," kata beliau.

Mello menambah, di peringkat pengajian tinggi pula, kurikulum perlu diselaraskan dengan keperluan pasaran buruh bagi mengurangkan ketidakpadanan kemahiran.

Menyentuh isu perubahan iklim, beliau berkata Malaysia semakin terdedah kepada bencana berkaitan iklim termasuk kejadian banjir yang semakin kerap dan lebih buruk.

"Sehubungan itu, OECD  mengesyorkan kerajaan melaksanakan strategi penyesuaian perubahan iklim yang lebih menyeluruh, memperkukuh pengumpulan data risiko iklim serta memperluaskan perlindungan insurans terhadap bencana alam bagi meningkatkan daya tahan kewangan isi rumah dan perniagaan.

Menurutnya, peralihan daripada subsidi bahan api fosil kepada mekanisme penetapan harga karbon serta mempercepat pelaburan dalam tenaga boleh baharu juga penting bagi mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong agenda peralihan hijau negara.

Laporan yang sama menurutnya, mengunjurkan KDNK 2027 meningkat kepada 5.0 peratus. 

Must Watch Video

Advertisement