KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya Bawah 15 Tahun (B-15) berada di kelas tersendiri apabila menewaskan Jamaica 4 - 2 untuk menempah slot ke suku akhir Tier B Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 awal pagi tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Padang 8A Hovsan Complex, Baku, Azerbaijan menyaksikan skuad Harimau Muda itu Malaysia memulakan aksi dengan cemerlang apabila Armin Haikal Hazim meledak gol seawal minit kedua sebelum Iman Lutfi Zairol Hisham menggandakan kelebihan tiga minit kemudian.
Pada minit kelapan, Iman sekali lagi menyumbang mata untuk meletakkan Malaysia dalam kedudukan selesa sebelum Rayyan Haziq Ahfizal Ahmad menambah gol keempat pada minit ke-24.
Jamaica bagaimanapun berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan pemain nombor enam pada minit ke-11 sebelum pemain nombor 14 menambah satu lagi gol pada minit ke-39.
Cabaran lebih besar menanti Malaysia apabila dijadual bertemu China pada aksi suku akhir Tier B, hari ini bagi perebutan slot ke separuh akhir kejohanan berprestij itu.
-- BERNAMA