Skip to main content

Malaysia

Persepsi positif terhadap TVET, permohonan ke kolej vokasional meningkat empat kali ganda

Azmir Mohd Yunus (tengah) dan Dr Muhammad Faizal Tahiruddin (kanan) pada program Ruang Bicara mengenai TVET 2.0: Antara Kompetensi dan Pembangunan Bakat bersama hos, Shuhadah Armawan (kiri) di Wisma Bernama, pada Rabu. - Gambar Bernama
Azmir Mohd Yunus (tengah) dan Dr Muhammad Faizal Tahiruddin (kanan) pada program Ruang Bicara mengenai TVET 2.0: Antara Kompetensi dan Pembangunan Bakat bersama hos, Shuhadah Armawan (kiri) di Wisma Bernama, pada Rabu. - Gambar Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Persepsi terhadap bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menunjukkan perubahan ketara berbanding sedekad lepas, didorong oleh kesedaran yang semakin meningkat terhadap potensi kerjaya masa hadapan.

Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara (MTVET), Ts Dr Azmir Mohd Yunus berkata, peningkatan minat dalam program itu dibuktikan menerusi jumlah permohonan kemasukan ke institusi vokasional seawal usia 16 tahun.

"Kalau kita lihat statistik permohonan kemasukan meningkat paling ketara. Contohnya, Kolej Vokasional biasanya mengambil 17,000 pelajar baru setahun, namun saya semak dengan Kementerian Pendidikan yang memohon kira-kira 60,000 orang, meningkat hampir empat kali ganda," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “TVET 2.0: Antara Kompetensi dan Pembangunan Bakat”, malam tadi. 

Beliau berkata, walaupun penerimaan masyarakat semakin baik, usaha memperluas kefahaman secara terperinci mengenai hala tuju program TVET perlu diteruskan kerana terdapat program yang memberi peluang pekerjaan sehingga peringkat antarabangsa mahupun potensi dalam bidang perniagaan.

"Banyak perkara boleh dicapai menerusi TVET kalau kita benar-benar fahami apa yang ingin dituju, cuma mungkin anak muda seawal 16 tahun tidak tahu memilih program. Kita boleh menggalakkan mereka untuk terokai kursus pendek yang ada di Kolej Komuniti dan melihat apa yang mereka minat," katanya.

Beliau berkata, TVET 2.0 merupakan inisiatif kerajaan bagi melatih bakat berkemahiran tinggi selaras dengan aspirasi Malaysia ke arah kegiatan ekonomi dalam keperluan tenaga mahir seperti sektor kenderaan elektrik, robotik dan tenaga baharu dalam usaha memenuhi keperluan tenaga kerja, sekali gus mewujudkan pekerjaan lebih berkualiti untuk anak muda.

Sementara itu, Exco Mobiliti Sosial dan Penyertaan Inklusif TVET (MTVET), Dr Muhammad Faizal Tahiruddin berkata, pelarasan syarat kemasukan turut dilaksanakan menerusi TVET 2.0 dalam usaha memastikan semua individu daripada pelbagai latar belakang dapat menyertai bidang kemahiran.

"Sekarang ini untuk pelajar tahfiz memang telah dikurangkan syarat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memasuki institut latihan kemahiran awam.

"Bahkan, kalau syarat diletakkan di bawah jabatan, secara amnya memang tidak ada syarat SPM kecuali bagi program yang ada ikhtisas tertentu tetapi bilangannya sangat sedikit," katanya.

Beliau berkata, usaha mendekati golongan rentan turut dilaksanakan melalui kerjasama agensi seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), institusi tahfiz dan Kementerian Belia dan Sukan bagi memberi kesedaran berhubung kelebihan menyertai bidang TVET.

"Mereka kadang-kadang tidak tahu bahawa ini adalah peluang meningkatkan kemahiran. Contohnya, belia yang ketinggalan mereka melihat peluang hanya di ekonomi gig sedangkan mereka masih boleh menyumbang kepada pembangunan negara.

"Belia Orang Asli mempunyai peluang yang tinggi dalam bidang kemahiran agrikultur ataupun pertanian, selain sesetengahnya mempunyai kemahiran menyulam, jadi disitulah peranan TVET untuk mereka," katanya.

  -- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement