BISNES
Kedudukan ASEAN sebagai kuasa ekonomi serantau kekal utuh - Gabenor BNM

Menurut Abdul Rasheed, usaha yang dilaksanakan ke arah integrasi ekonomi merangkumi inisiatif seperti infrastruktur pembayaran saling boleh kendali bertujuan memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kedudukan ASEAN sebagai kuasa ekonomi serantau yang berkembang pesat kekal utuh, begitu juga komitmennya untuk meningkatkan integrasi ekonomi termasuk dalam bidang kewangan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata, usaha yang dilaksanakan ke arah integrasi ekonomi merangkumi inisiatif seperti infrastruktur pembayaran saling boleh kendali bertujuan memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Katanya, terdapat momentum yang meningkat ke arah saling kebergantungan ekonomi dan kerjasama serantau yang lebih baik serta hasilnya, kemajuan berterusan dalam integrasi dapat dijangkakan berdasarkan ruang yang besar untuk pertumbuhan dalam bidang ini.
Sebagai contoh, Abdul Rasheed berkata, perdagangan antara ASEAN, yang kini menyumbang 22 peratus daripada jumlah perdagangan perkumpulan itu dan jauh ketinggalan berbanding Kesatuan Eropah yang mencatatkan kira-kira 50 peratus.Secara optimis, beliau menekankan rantau ini kini mempunyai infrastruktur yang diperlukan untuk merealisasikan matlamat ini.
"Antara pemangkin utama ialah infrastruktur pembayaran saling boleh kendali," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif.
Abdul Rasheed berkata, inovasi seperti respons pantas (QR) merentas sempadan atau biasanya dikenali sebagai sistem pembayaran QR, merevolusikan cara perniagaan menjalankan urus niaga.
"Oleh itu, sesiapa sahaja dari Malaysia boleh menjual produk yang dikeluarkan, contohnya di Thailand dan menerima bayaran serta-merta," katanya, sambil menambah keupayaan sedemikian tidak pernah berlaku beberapa tahun lepas.
Pada 2024, kira-kira 5.2 juta transaksi pembayaran QR rentas sempadan telah dicatatkan, meningkat empat kali ganda daripada tahun sebelumnya, menekankan nilai yang dibawa oleh perkhidmatan ini kepada pengguna dan peniaga.
"Ini merupakan pemangkin utama kepada perubahan terutamanya bagi PMKS, yang merupakan tunjang kepada ekonomi ASEAN," katanya.
Abdul Rasheed berkata, walaupun syarikat besar turut penting, memperkasakan PMKS untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam anjakan perubahan ini akan membuka potensi besar yang belum lagi dimanfaatkan.
Menurut laporan, terdapat 70 juta PMKS di ASEAN, menyumbang 97.2 peratus - 99.9 peratus daripada jumlah syarikat di negara anggota ASEAN.
Di peringkat serantau, PMKS menyumbang 85 peratus kepada pekerjaan, 44.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 18 peratus kepada eksport negara.
Abdul Rasheed berkata, kepelbagaian ekonomi dan perindustrian dalam ASEAN menjadi kekuatan rantau ini serta menyokong penyepaduan ekonomi dan kewangan.
"Setiap negara anggota ASEAN mempunyai kekuatan masing-masing. Contohnya, Malaysia dan Vietnam merupakan peneraju dalam elektronik dan pembuatan manakala Indonesia mempunyai sumber unik dan pasaran yang luas.
"Daripada bersaing, anggota ASEAN perlu mencari jalan untuk saling melengkapi dan membina ekosistem serantau yang lengkap.
"Kesedaran bahawa kita akan lebih kukuh secara bersama, semakin meningkat. Daripada melihat satu sama lain sebagai pesaing, kita kini menumpu untuk mewujudkan pasaran dalaman yang bersatu. Peralihan pemikiran ini penting," katanya.
Abdul Rasheed berkata, kepentingan strategik ASEAN di peringkat global mula disedari oleh kuasa besar dunia.
Menurutnya, dengan AS, China dan Eropah yang semakin giat menjalin kerjasama dengan rantau ini, kedudukan ASEAN semakin kukuh.
"Kita menjadi rantau yang tidak boleh lagi diabaikan oleh dunia. Itulah sebabnya penting untuk kita meneruskan momentum ini dan mengukuhkan integrasi kita, bukan sahaja dalam perdagangan, malah dalam rangkaian digital, kewangan dan logistik," katanya.
Abdul Rasheed berkata, apa yang pada mulanya dianggap oleh sesetengah pihak sebagai cabaran di tengah-tengah persaingan geopolitik, peralihan rantaian bekalan dan ketidaktentuan ekonomi global telah menjadi pemangkin kepada perpaduan ASEAN.
"Apa yang muncul kini adalah rantau yang bersedia untuk meneraju. Kita kini menyedari potensi daripada perpaduan kita dan bersatu lebih kukuh daripada sebelumnya," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami