Skip to main content
Advertisement

Malaysia

KPKM yakin isu beras putih tempatan dapat ditangani menerusi produk hiliran

KOTA BHARU, 29 Okt -- Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Tunjung hari ini.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Isham berkata pendekatan yang diambil bukan sahaja membuktikan kewujudan serta kualiti beras tempatan, malah mampu mewujudkan rantaian nilai baharu yang memberi pulangan lebih baik kepada petani dan pesawah. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yakin isu berkaitan pasaran beras putih tempatan yang sebelum ini mencetuskan kontroversi dapat ditangani secara lebih proaktif menerusi pembangunan produk hiliran bernilai tambah.

Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak berkata pendekatan berkenaan bukan sahaja membuktikan kewujudan serta kualiti beras tempatan, malah mampu mewujudkan rantaian nilai baharu yang memberi pulangan lebih baik kepada petani dan pesawah.

“Sebelum ini banyak kontroversi berhubung beras putih tempatan kononnya hilang, tidak dapat dijual dan pelbagai lagi. Sebenarnya ia ada, dan melalui usaha ini produk tersebut boleh ditukar menjadi produk hiliran berkualiti, bermutu serta mampu menembusi pasaran antarabangsa.

“Inisiatif seumpama ini menjamin petani kita mempunyai peluang bukan sahaja untuk menghasilkan beras ruji, tetapi juga produk nilai tambah yang boleh bersaing di pasaran terbuka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Snek Beras Putih Pertama Malaysia, ‘Jati Chom Chom’ terbitan Serba Wangi Sdn Bhd di Old Malaya, Bukit Nanas, di sini, pada Sabtu.

Majlis pelancaran produk itu turut disempurnakan oleh Tuanku Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff bersama Pengarah Urusan Serba Wangi Sdn Bhd, Low Kok Kean.

Sementara itu, Low berkata penghasilan Jati Chom Chom menandakan langkah baharu syarikat dalam meneroka potensi komersial beras tempatan, melangkaui kegunaan tradisional sebagai makanan ruji.

Menurutnya transformasi beras kepada produk snek moden berupaya menarik minat generasi pengguna baharu, selain memperluaskan pasaran bagi komoditi berkenaan.

“Dengan mengubah beras tempatan kepada pengalaman snek yang menyeronokkan, ringan dan penuh rasa, kami mahu mendekati generasi pengguna baharu sambil menunjukkan bagaimana inovasi mampu membuka peluang baharu kepada bahan makanan yang sudah biasa digunakan,” katanya.

Jati Chom Chom ditawarkan dalam dua perisa iaitu tomato dan keju dengan harga RM1.99 bagi pek 60 gram serta RM3.79 bagi multipack 112 gram.

Produk itu dihasilkan di fasiliti yang diperakui Halal, Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), serta piawaian sistem pengurusan keselamatan makanan ISO 22000:2018.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement