KUALA LUMPUR: Aktiviti jualan membabitkan saham wajaran tinggi terpilih menyaksikan Bursa Malaysia diniagakan bercampur-campur pagi ini walaupun Wall Street mempamerkan aliran menaik semalaman di tengah-tengah sentimen pasaran serantau yang positif

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.75 mata kepada 1,458.68 daripada 1,459.43 pada penutup Isnin.

Indeks utama dibuka pada paras 1,458.90, turun 0.53 mata.

Pergerakan harga di pasaran lebih positif menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 166 berbalas 160, manakala 289 kaunter tidak berubah, 1,650 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 338.17 juta unit bernilai RM113.23 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata ia merupakan satu lagi hari positif di Wall Street di tengah-tengah sesi dagangan yang agak lengang kerana peniaga masih menantikan keputusan pendapatan syarikat teknologi besar dan data pekerjaan bagi bulan Julai pada Jumaat ini.

Purata Indeks Dow Jones melonjak 100 mata, manakala Nasdaq menambah 29 mata dengan hasil 10 tahun AS kekal mendatar pada 3.967 peratus.

Sementara itu, beliau berkata kemungkinan terdapatnya langkah tambahan untuk meningkatkan perbelanjaan pengguna kerana sektor swasta diunjur menjadi enjin utama untuk merangsangkan ekonomi.

Di pasaran tempatan, FBM KLCI menunjukkan prestasi kukuh selepas ia berakhir pada paras tertinggi lima bulan semalam.

"Untuk hari ini, kami percaya memandangkan indeks masih belum mencapai paras tertinggi tahun ini, kami menjangkakan indeks utama akan berlegar dalam julat 1,455-1,470.

"Walaupun saham perladangan mungkin mengalami beberapa halangan berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih lemah semalaman, kami berpendapat kegiatan pembelian mungkin beralih semula ke kaunter berkaitan tenaga dan telekomunikasi hari ini," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM9.04, Public Bank meraih satu sen untuk mencatatkan harga RM4.18 manakala CIMB turun tiga sen menjadi RM5.52, Petronas Chemicals lebih rendah lima sen kepada RM6.90 dan Tenaga Nasional lemah dua sen pada RM9.58.

Bagi saham aktif, KGW dan SWS Capital masing-masing mengukuh 2.5 sen kepada 23.5 sen dan 32.5 sen manakala Sapura Energy dan Sarawak Consolidated memperoleh setengah sen masing-masing mencatatkan 4.0 sen dan 44 sen.

Komarkcorp pula tidak berubah pada 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 1.86 mata menjadi 10,701.42, Indeks FBMT 100 susut 2.0 mata untuk mencatatkan paras 10,390.88 dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 5.88 mata kepada 10,946.84.

Indeks FBM ACE pula susut 23.94 mata kepada 5,306.19, manakala Indeks FBM 70 meningkat 11.41 mata kepada 13,961.0,

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 17.33 mata kepada 7,163.10, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.49 mata kepada 168.22.

Indeks Perkhidmatan Kewangan memperoleh 7.99 mata kepada 16,282.04, dan Indeks Tenaga meningkat 3.97 mata kepada 834.12.

-- BERNAMA