Kuala Lumpur:Kenaikan kadar sewaan depot milik Pos Logistics di Northport Pelabuhan Klang hampir 350 peratus adalah wajar, kata jurucakap Kumpulan Pos Malaysia dalam satu kenyataan.

Menurut syarikat itu, kadar sewaan yang ditawarkan sama ada bagi perkhidmatan sewaan ruang depot atau lain-lain perkhidmatan adalah kompetitif dan mengikut kadar pasaran semasa.

“Merujuk kepada propertyguru.com.my, kadar RM0.30 setiap kaki persegi adalah bagi tanah kosong yang belum dibangunkan, manakala kadar RM0.70- RM0.80 adalah bagi tanah yang dikemaskan dengan interlocking block atau tar.

“Pos Logistics mengenakan kadar sewaan RM0.80 setiap kaki per segi kerana ia adalah long overdue dan berpatutan, memandangkan kawasan depot kami juga disediakan kemudahan lain seperti lampu jalan dan perkhidmatan kawalan keselamatan, selain interlocking block,” kata syarikat itu dalam satu kenyatan.

Melalui satu tangkap layar emel yang dikirimkan Pos Logistics kepada penyewa depot, syarikat itu meningkatkan kadar sewaan daripada RM0.28 kaki per persegi kepada RM0.80 kaki per segi berkuatkuasa 1 Februari.

Ia menjadikan kadar sewaan untuk kawasan seluas 21,780 kaki per segi meningkat daripada RM5,009.40 kepada RM RM17,424 sebulan.

Menurut sumber yang menghubungi Astro AWANI, syarikat penyewa di kawasan itu menggunakan kawasan itu sebagai bengkel kerja fabrikasi termasuk baik pulih ubah suai termasuk jualan kontena sejak dua tahun lalu.

Namun susulan peningkatan mendadak tersebut, syarikat itu mendakwa menerima kesan besar ditambah kemorosotan perniagaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).