Ringkasan AI
- Ketua Penerangan GPS menegaskan keputusan parti untuk tidak bertanding dalam PRN Sarawak ke-13 adalah hak demokrasi dan wajar dihormati.
- Abdul Karim menyifatkan tindakan parti seperti PKR, UMNO, Amanah dan Bersatu tidak bertanding mencerminkan kefahaman terhadap hubungan politik negeri dan Persekutuan.
- Hari penamaan calon PRN Sarawak ke-13 ditetapkan pada 28 November, pengundian awal pada 8 Disember dan pengundian pada 12 Disember.
KUCHING: Keputusan sesebuah parti politik untuk tidak bertanding dalam pilihan raya juga merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi dan tidak seharusnya dinilai berdasarkan kewujudan pertandingan semata-mata.
Ketua Penerangan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata setiap parti mempunyai hak untuk menentukan sama ada mahu menyertai atau tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Menurutnya, keputusan beberapa parti nasional untuk tidak bertanding pada pilihan raya kali ini wajar dihormati kerana mencerminkan kefahaman terhadap landskap politik serta hubungan kerjasama antara parti di peringkat negeri dan Persekutuan.
"Sama ada kita mahu bertanding atau tidak, itu juga demokrasi. Tidak bertanding juga demokrasi, bertanding pun demokrasi.
“Siapa dia untuk mengatakan setiap pilihan raya mesti ada pertandingan, barulah demokrasi dianggap berkembang? Tidak.
"Jika ada pertandingan, itu boleh dianggap sebagai amalan demokrasi. Kita sedang mengamalkan demokrasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang menyifatkan keputusan PKR untuk tidak bertanding sebagai tindakan mengorbankan demokrasi Sarawak demi kepentingan politik di peringkat Persekutuan.
Chong pada 25 November mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tunduk kepada tekanan GPS dengan menarik PKR daripada PRN Sarawak sebagai pertukaran kepada sokongan berterusan gabungan itu terhadap Kerajaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata parti yang berpuas hati dengan kerajaan sedia ada dan memilih untuk tidak meletakkan calon juga berhak membuat keputusan sedemikian.
“Jika rakyat berpuas hati, parti-parti juga berpuas hati dengan kerajaan sedia ada dan tidak berhasrat meletakkan sebarang calon, itu juga merupakan hak mereka. Itu juga sebahagian daripada demokrasi,” katanya lagi.
Beliau turut menyifatkan keputusan parti-parti seperti PKR, UMNO, Amanah dan Bersatu untuk tidak bertanding sebagai satu perkembangan positif yang menunjukkan kefahaman terhadap keperluan menjaga hubungan politik antara negeri dan Persekutuan.
Sementara itu, Abdul Karim menyindir Chong dengan menyatakan kemungkinan Pengerusi DAP Sarawak itu berasa terpinggir apabila parti-parti lain memilih untuk tidak menyertai pilihan raya kali ini.
Beliau turut mempersoalkan pendirian DAP yang menurutnya mahu bekerjasama dengan GPS di peringkat Persekutuan tetapi mengambil pendekatan berbeza di Sarawak.
PRN Sarawak ke-13 menyaksikan hari penamaan calon ditetapkan pada 28 November, manakala pengundian awal pada 8 Disember dan pengundian pada 12 Disember.