BALING: Seorang lelaki ditemukan maut dengan 16 kesan tetakan dalam kejadian di Pekan Lama Kuala Ketil kira-kira 12.15 tengah malam, Khamis.
Pemeriksaan awal forensik mendapati mangsa berusia 43 tahun itu mengalami kecederaan pada bahagian kaki, tangan, lutut dan belakang leher.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata terdapat kesan tetakan pada beberapa bahagian anggota badan mangsa sehingga hampir putus dan dipercayai dilakukan menggunakan parang.
"Hasil siasatan dan risikan yang dijalankan polis mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada dendam dan perebutan kawasan.
"Maklumat daripada orang awam menyatakan empat lelaki bersenjatakan parang dilihat turun daripada sebuah kereta jenis Proton Persona.
"Suspek dipercayai mengejar dan terus menetak mangsa di tempat kejadian," katanya.
Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan," katanya.