Moody's Investors Service berkata keputusan operasi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi suku pertama 2016 dalam jangkaannya dan terus menyokong penarafan penerbit A3 syarikat itu dan prospek stabil pada penarafan.

"Keputusan suku pertama MAHB yang berakhir 31 Mac, sejajar dengan jangkaan kami," kata Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody's, Ray Tay dalam kenyataan di sini.

Pada suku tersebut, pertumbuhan dalam trafik penumpang di Malaysia terus menunjukkan daya tarikan yang positif, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen milik penuhnya di Istanbul terus mencatat pertumbuhan dua angka dalam trafik penumpang, katanya.

Perolehan yang dicatatkan MAHB naik sebanyak 16.4 peratus kepada RM1.02 bilion berbanding tempoh sama pada 2015.

Segmen trafik penumpang MAHB Malaysia mencatatkan pergerakan penumpang sebanyak 21.1 juta pada suku pertama 2016, pertumbuhan sebanyak 3.4 peratus berbanding angka yang dicatatkan pada suku pertama 2015.

Manakala trafik di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul terus mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 19.6 peratus kepada 6.7 juta pergerakan penumpang.

Moody's menjangka pertumbuhan dalam trafik penumpang bagi operasi MAHB Malaysia akan naik kepada sekitar 1.0-3.0 peratus bagi tahun penuh 2016, susulan pemulihan daripada sentimen bencana penerbangan yang berlaku pada 2014, dan penyelesaian rasionalisasi laluan oleh Malaysia Airlines Bhd pada 2016.

"Malah, dua faktor tersebut membawa kepada pertumbuhan marginal 0.6 peratus dalam trafik penumpang bagi operasinya di Malaysia pada 2015," katanya.

Pengaturan perkongsian kod dan kemasukan pengendali syarikat penerbangan baharu dalam segmen Malaysia akan turut memberi sokongan kepada jangkaan Moody's bahawa MAHB akan mencatat pertumbuhan trafik yang meningkat pada 2016, katanya.