KUALA LUMPUR:Penyedia tenaga bersih, Plus Solar Systems Sdn Bhd (Plus Solar Systems) berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi pengecualian cukai baharu bagi sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam merangka Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 6 November depan.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekuti Plus Solar Systems, Ko Chuan Zhen berkata kerajaan harus mempertimbangkan untuk memperkenalkan cukai karbon dengan melihat bagaimana ia berjaya dilaksanakan di negara-negara lain.

Beliau berkata langkah seperti itu akan menjadi insentif bagi syarikat korporat untuk mengguna pakai amalan RE.

"Ia sangat melegakan apabila mendengar Menteri Kewangan berkata bahawa Belanjawan 2021 akan menumpukan perhatian kepada kehidupan lestari sebagai salah satu temanya, lanjutan Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) sehingga 2023," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata Belanjawan 2021 akan dirangka dalam empat tema iaitu menjaga kebajikan rakyat, memacu ekonomi, kehidupan lestari dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam.

"Ini merupakan sesuatu yang positif apabila Tengku Zafrul berkata pandemik COVID-19 tidak memperlahankan momentum untuk pelaburan yang mampan dan syarikat yang menerapkan prinsip-prinsip berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus akan mencatatkan prestasi lebih baik.

"Seiring dengan tema pertama belanjawan itu iaitu menjaga kebajikan rakyat, ia adalah harapan kami supaya kawasan luar bandar dan pedalaman yang tidak mempunyai akses elektrik akan dilengkapi dengan penyelesaian solar untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat," kata Ko.

Selain itu, bagi memastikan panel solar mampu dimiliki, beliau berharap cukai jualan dapat dikecualikan untuk panel yang diimport.

Ko juga meminta kerajaan agar mempertimbangkan untuk memberi pengecualian cukai bagi penyelesaian bateri kerana ia adalah trend tenaga bersih yang akan datang untuk menurunkan kos bagi pemilik perniagaan dan mereka yang melabur dalam solar.

"Satu bentuk pengecualian cukai juga diperlukan bagi individu ketika mereka melabur dalam tenaga solar, sama sepertipengecualian cukai yang kami terima apabila melabur dalam peranti teknologi peribadi," katanya.

-- BERNAMA