Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Hubungan Malaysia-Rusia pada "tahap sangat tinggi" - Duta Malaysia ke Rusia

71747175225_TBCheongLoonLai.jpg
Cheong turut menekankan daya tahan hubungan ekonomi, dengan menyatakan bahawa perdagangan dua hala melepasi AS$3.6 bilion pada 2025. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Rusia sedang memperkukuh hubungan dalam pelbagai sektor strategik, dengan hubungan dua hala mencapai "tahap sangat tinggi" susulan peningkatan libat urus peringkat tinggi serta kerjasama yang semakin berkembang, kata Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai.

Beliau berkata momentum yang semakin meningkat itu dicerminkan menerusi beberapa siri pertukaran peringkat tinggi sejak 2024, termasuk lawatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain libat urus aktif di pelbagai peringkat.

"Kerjasama dua hala telah berkembang merangkumi sektor utama seperti keselamatan tenaga, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kuantum, agensi berita, pengurusan bencana, pendidikan serta aeroangkasa, dengan Malaysia terus mendapat manfaat daripada kekuatan dan pengalaman Rusia," katanya.

Cheong berkata demikian pada majlis sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 anjuran Kedutaan Malaysia di Moscow baru-baru ini, yang menghimpunkan lebih 300 anggota kor diplomatik, pegawai kerajaan Rusia, pemimpin perniagaan serta sahabat Malaysia.

Beliau turut menekankan daya tahan hubungan ekonomi, dengan menyatakan bahawa perdagangan dua hala melepasi AS$3.6 bilion pada 2025 meskipun berdepan cabaran geoekonomi, mencerminkan perkembangan berterusan hubungan perdagangan dan perniagaan antara kedua-dua negara.

Timbalan Menteri Luar Rusia Andrey Rudenko, yang hadir sebagai tetamu kehormat, turut senada dengan Cheong dengan menekankan kekuatan hubungan dua hala serta tahap kepercayaan dan muhibah yang tinggi antara Malaysia dan Rusia.

Beliau turut merujuk penggunaan Aurus buatan Rusia oleh Sultan Ibrahim semasa sambutan Hari Kebangsaan Malaysia, yang disifatkannya sebagai mencerminkan hubungan erat dan kepercayaan bersama antara kedua-dua negara.

Bertemakan "Malaysia MADANI: Kemakmuran Bersama", majlis itu turut mengetengahkan budaya dan sajian Malaysia, termasuk nasi lemak, sate, rendang dan teh tarik.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement