Skip to main content

Bisnes

Kerajaan optimis prestasi memberangsangkan suku keempat 2025 susulan ekonomi rancak

KUALA LUMPUR, 12 Feb -- Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (dua, kanan) melancarkan Jana MyPesara di Pejabat Utama KWAP, hari ini.  Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) Datuk Nik Amlizan Mohamed (kanan) dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Datuk Seri Dr. Syed Hussian Syed Junid (kiri)._BERNAMA
Amir Hamzah pada majlis pelancaran Jana MyPesara di sini hari ini.

KUALA LUMPUR: Kerajaan optimis Malaysia mampu mencapai prestasi ekonomi yang memberangsangkan pada suku keempat 2025 berikutan kerancakan ekonomi pada masa ini, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Jana MyPesara di sini hari ini, beliau menyatakan keyakinan angka sebenar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang akan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) esok dijangka lebih baik berbanding unjuran.

Advertisement

“Kalau kita mencapai 5.7 peratus (pada suku keempat), ini bermakna KDNK kita pada tahun lepas naik sebanyak 4.9 peratus, lebih tinggi berbanding sasaran kerajaan antara 4.0 dan 4.8 peratus.

“Melihat kepada kerancakan ekonomi pada masa ini, saya optimis apabila angka sebenar diumumkan esok, mungkin lebih baik daripada yang dijangka berdasarkan pelaburan masuk ke dalam negara, pengaktifan yang ada dan nilai perolehan kontrak dalam sektor pembangunan yang baik.

“Dari segi sektor runcit, kerancakan yang ada di pasaran pada masa ini menunjukkan ekonomi Malaysia masih kukuh, dan insya-Allah akan membantu pada masa depan,” katanya.

DOSM mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 5.7 peratus pada suku keempat 2025, disokong oleh prestasi kukuh dalam sektor ekonomi utama dan permintaan domestik yang teguh.

Anggaran awalan bagi pertumbuhan suku keempat pada 5.7 peratus menunjukkan ekonomi meningkat daripada 5.2 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya. 

Bagi keseluruhan 2025, ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang sebanyak 4.9 peratus iaitu menghampiri pertumbuhan 5.1 peratus pada 2024. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video