KUALA LUMPUR: Industri pengangkutan awam negara berpotensi melalui fasa transformasi susulan kerjasama strategik melibatkan empat syarikat tempatan bagi meneroka penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam perkhidmatan teksi, termasuk penerapan sistem penukaran bateri automatik.
Kerjasama di bawah inisiatif Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara EV Auto Works Sdn Bhd, Voltgem Energies Sdn Bhd, GV Car Import Sdn Bhd dan Alirantek (M) Sdn Bhd dengan disaksikan wakil GTSM.
Advertisement
Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride Kabeer Maand berkata inisiatif berkenaan bertujuan menyokong usaha peralihan perkhidmatan teksi dan e-hailing ke arah penggunaan teknologi lebih mesra alam, selaras dengan agenda mobiliti mampan negara.
Beliau berkata antara komponen utama kerjasama tersebut ialah penggunaan sistem penukaran bateri automatik, yang berpotensi mengurangkan tempoh kenderaan berada di luar operasi berbanding kaedah pengecasan konvensional.
“Pendekatan ini boleh membantu meningkatkan kecekapan operasi harian, khususnya bagi kenderaan pengangkutan awam yang beroperasi untuk tempoh masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, inisiatif itu turut mengambil kira cabaran kos operasi yang dihadapi pemain industri, termasuk peningkatan kos bahan api dan penyelenggaraan kenderaan, yang memberi kesan langsung kepada pemandu dan pengendali perkhidmatan.
Dalam aspek sokongan kepada pemandu, Kabeer berkata beberapa keperluan asas turut dirangka bagi memudahkan proses peralihan kepada penggunaan EV secara berperingkat dan lebih tersusun.
Beliau menambah bahawa kenderaan yang terlibat dibangunkan khusus untuk kegunaan pengangkutan awam dan mematuhi piawaian keselamatan ASEAN NCAP, dengan ciri keselamatan yang mengambil kira keperluan pemandu dan penumpang.
Kerjasama tersebut juga merangkumi perancangan jangka panjang untuk membangunkan pemasangan kenderaan EV secara Completely Knocked Down (CKD) di dalam negara, khususnya bagi model yang menggunakan teknologi penukaran bateri.
Sementara itu, pihak terlibat menyatakan harapan agar inisiatif berkenaan dapat menerima sokongan berterusan daripada agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan pembangunan ekosistem pengangkutan awam berasaskan elektrik dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan mampan.