Skip to main content

Malaysia

LRT3 Laluan Shah Alam dijangka mula beroperasi hujung Jun - Loke

Anthony Loke, Komplo
Anthony berkata, ujian operasi yang dijalankan setakat ini berjalan lancar dan sistem LRT3 kini berada dalam keadaan bersedia untuk menerima penumpang. - Gambar fail

SEPANG: Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam dijangka mula beroperasi hujung bulan ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tarikh rasmi pelancaran perkhidmatan itu akan diumumkan tidak lama lagi selepas semua persiapan akhir diselesaikan.

Menurutnya, ujian operasi yang dijalankan setakat ini berjalan lancar dan sistem LRT3 kini berada dalam keadaan bersedia untuk menerima penumpang.

“LRT3 dijangka dibuka kepada orang ramai pada penghujung bulan ini. Tarikh tepat akan diumumkan dalam masa dua minggu lagi.

“Ujian operasi telah berjalan dengan baik dan sistem sudah bersedia. Kami menjangkakan perkhidmatan ini dapat memulakan operasi sebelum akhir bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan ke-62 Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), hari ini.

LRT3 atau turut dikenali sebagai Laluan Shah Alam sepatutnya memulakan operasi tahun lalu.

Namun, pelancarannya ditangguhkan berikutan beberapa isu berkaitan kestabilan sistem dan perisian yang dikenal pasti semasa fasa ujian serta pentauliahan (T&C).

Projek sepanjang 37.8 kilometer itu menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya dengan Johan Setia di Klang, sekali gus meningkatkan rangkaian pengangkutan awam di koridor barat Lembah Klang.

Laluan berkenaan turut memberi akses rel kepada kawasan berpenduduk padat dan pesat membangun seperti Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.

Must Watch Video

Advertisement