Skip to main content

Malaysia

14 sekolah dipilih perintis Zon Sekolah Selamat - Anthony Loke

Anthony Loke MKJR
Anthony Loke semasa sidang media selepas mesyuarat agung tahunan ke-62 MKJR hari ini. - Gambar/ Astro AWANI

SEPANG: Sebanyak 14 sekolah di seluruh negara menjadi lokasi perintis pelaksanaan Zon Sekolah Selamat oleh Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan sekolah.

Pengerusi Majlis MKJR, Anthony Loke, yang juga Menteri Pengangkutan berkata, inisiatif itu dijangka memberi manfaat secara langsung kepada hampir 20,000 murid serta warga sekolah.

“Statistik menunjukkan secara purata hampir 70 kemalangan berlaku di kawasan sekolah setiap tahun.

“Ini membuktikan aspek pengurusan kelajuan dan infrastruktur jalan di kebanyakan sekolah masih belum berada pada tahap yang memuaskan.

“Intervensi yang dilaksanakan oleh MKJR memberi tumpuan kepada pengurangan had laju di kawasan sekolah melalui pendekatan penambahbaikan infrastruktur yang mampu mempengaruhi tingkah laku pengguna jalan raya secara lebih berkesan, katanya semasa sidang media mesyuarat agung tahunan ke-62 MKJR di sini, hari ini.

Menurutnya, beberapa insiden kematian murid sekolah yang berlaku kebelakangan ini amat menyentuh perasaan dan menuntut tindakan segera daripada semua pihak.

Dalam pada itu, antara langkah yang dilaksanakan termasuk pembinaan lintasan pejalan kaki bertingkat, penyempitan jalan, laluan khas pejalan kaki serta pembangunan pulau perlindungan atau median jalan.

“Pendekatan ini menggunakan konsep 'self-enforcing infrastructure' yang membantu memastikan pengguna jalan raya mematuhi had laju dan peraturan keselamatan tanpa bergantung sepenuhnya kepada penguatkuasaan.

“Kita mempunyai tanggungjawab untuk melindungi generasi muda dan memberi ketenangan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka selamat dalam perjalanan ke sekolah dan pulang ke rumah.

“Justeru, saya berharap usaha ini akan terus diperkukuh dan diperluaskan dengan sokongan kerajaan, sektor swasta serta komuniti setempat bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat untuk semua,” katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement