TEHRAN: Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya Angkatan Tentera Iran menegaskan bahawa musuh tidak mempunyai pilihan lain selain menerima kekalahan susulan perkembangan terbaharu perjanjian antara Tehran dan Washington.
Menurut laporan agensi berita rasmi IRNA, kenyataan itu turut memuji keteguhan rakyat Iran serta keberanian anggota angkatan tentera negara itu.
Ia menyatakan bahawa kekuatan pasukan pertahanan Iran sepanjang konflik telah memaksa pihak lawan akur dengan ketegasan mereka.
“Angkatan tentera telah membuktikan bahawa musuh tidak mempunyai pilihan selain menerima kekalahan dan menyerah diri,” menurut kenyataan berkenaan.
Kenyataan itu dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pemuktamadan memorandum persefahaman (MoU) bersama Iran, termasuk pembukaan semula laluan strategik Selat Hormuz di Asia Barat.