KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd menyaksikan kerugian bersihnya mengecil kepada RM580.06 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021 berbanding RM992.89 juta yang dicatatkan semasa tempoh yang sama tahun sebelum ini, disebabkan oleh ketiadaan kerugian membabitkan bahan api serta pertukaran wang asing.

Pendapatan melonjak kepada RM370.61 juta daripada RM142.09 juta, didorong oleh pendapatan kargo yang lebih baik, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Melalui unitnya, Teleport, hasil kumpulan syarikat penerbangan itu mula bertambah dari tahun ke tahun selepas ia secara strategik mengembangkan rangkaian kargo dalam mewujudkan kehadiran di pasaran dengan mengendalikan lebih banyak penerbangan pajakan disamping, lebih banyak perkhidmatan penghantaran.

"Meneruskan pertumbuhan momentum pendapatan suku pertama 2021, perolehan daripada pendapatan Teleport menokok tiga kali ganda berbanding suku kedua 2021,'' kata AirAsia Group.

Teleport terpaksa mengurangkan margin untuk secara signifikan, berkembang pada laluan tertentu dalam penerbangan pajakan kargo bagi menguasai sebahagian pasaran dan mencapai rangkaian kargo yang konsisten serta boleh dipercayai, manakala rangkaian penumpang AirAsia dioperasikan pada tahap minimum.

Pendapatan untuk perniagaan syarikat penerbangan pada suku kedua adalah RM187.8 juta, hampir tiga kali ganda berbanding dengan tempoh yang sama sebelumnya, yang menyaksikan operasi armada kumpulan terhenti bagi sebahagian besar suku tahun akibat kesan COVID-19 pada awal 2020.

Di Malaysia, permintaan perjalanan masih dikekang susulan sekatan pergerakan dan perjalanan antara negara yang dikenakan sejak Januari 2021.

Namun, melalui pengurusan kapasiti yang ketat, AirAsia Malaysia melaporkan faktor muatan sebanyak 64 peratus pada suku kedua.

Sementara itu, melalui momentum suku pertama, AirAsia Indonesia mencapai 70 peratus kapasiti domestik pra-COVID-19 pada Mei 2021.

Bagaimanapun, perkembangan ini hanya sementara selepas ia memasuki mod hibernasi pada Julai lepas akibat jumlah kes jangkitan meningkat.

AirAsia Filipina mengalami pemulihan yang kukuh yang berterusan sehingga suku kedua dengan faktor muatan 78 peratus, mencapai faktor muatan setinggi 83 peratus menjelang Jun 2021.

Thai AirAsia melaporkan pendapatan yang lebih rendah sebanyak 1.08 bilion baht berbanding 2.22 bilion baht pada suku kedua 2020 disebabkan ketiadaan keuntungan pertukaran asing sebanyak 1.81 bilion yang diiktiraf dalam pendapatan.

Tidak termasuk keuntungan daripada pertukaran wang asing, pendapatan daripada penjualan dan perkhidmatan melonjak kepada 983.2 juta baht semasa suku kedua disebabkan oleh dasar yang lebih rendah susulan hibernasi armada pada April 2020.

Prestasi Thai AirAsia tetap lemah berikutan faktor luaran seperti wabak COVID-19 domestik yang lebih teruk daripada yang dijangkakan, termasuk gelombang jangkitan baharu yang dikesan pada April 2021.

"Dengan sekatan perjalanan masih dilaksanakan di majoriti entiti operasi kami, kumpulan ini kekal mengurus kapasiti secara aktif dan akan terus memastikan pembakaran tunai berada di tahap terendah disamping mengadakan langkah pengoptimuman kos.

"Kami tetap fokus dan komited untuk memperkukuhkan lagi kedudukan domestik kami pada masa ini sementara kami menunggu perkembangan perjalanan udara antarabangsa,'' katanya.

Bercakap mengenai prospek, AirAsia Group berharap untuk menyaksikan "peningkatan kestabilan dalam operasi kami selepas usaha vaksinasi terus dilancarkan secara berperingkat di semua pasaran utama, ditambah dengan pendidikan dan ujian yang lebih baik termasuk sokongan yang kukuh untuk perjalanan santai di antara negara dan wilayah berisiko rendah serta pengenalan pasport kesihatan digital antarabangsa."

--- BERNAMA