DUNIA
Isteri ketujuh Soekarno meninggal dunia di Amerika Syarikat

Isteri ketujuh kepada Presiden pertama Republik Indonesia, Soekarno, Yurike Sanger meninggal dunia pada usia 81 tahun di California, Amerika Syarikat.
KUALA LUMPUR : Isteri ketujuh kepada Presiden pertama Republik Indonesia, Soekarno, Yurike Sanger meninggal dunia pada usia 81 tahun di California, Amerika Syarikat.
Menurut media tempatan, Yurike menghembuskan nafas terakhir pada Rabu (17 September) selepas sekian lama berjuang melawan penyakit yang dihidapinya.
Khabar duka itu disahkan oleh anak lelakinya, Yudhi Sanger, menerusi satu hantaran di akaun Instagram.
Dalam pesanan penuh emosi itu, Yudhi menzahirkan kasih sayang dan kelegaan atas pemergian ibunya, yang dianggap sebagai pengakhiran kepada penderitaan panjang akibat penyakit.Berdasarkan laporan media tempatan, Yurike mempunyai sejarah melawan kanser payudara.
Beliau meninggal dunia ketika menjalani rawatan di San Gorgonio Memorial Hospital, California.
Jenazah Allahyarhamah dijadualkan pulang ke Indonesia dan dibawa ke Hospital Fatmawati, Jakarta Selatan untuk disemayamkan.
Bagaimanapun setakat ini, belum ada kepastian mengenai tarikh ketibaan jenazah.
Pertemuan Allahyarhamah dengan Soekarno adalah pada 1963 ketika bekas pemimpin nombor satu republik itu sudah bergelar presiden dan berkahwin pada 1964.
Yurike dilahirkan di Poso, Sulawesi Tengah, pada tahun 1945.
Allahyarhamah mempunyai darah kacukan Jerman daripada sebelah bapa dan Manado daripada sebelah ibu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami