KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd yang kini bergelut dengan masalah kewangan, mencatat kerugian yang lebih tinggi pada suku keempat berakhir 31 Januari 2022, berjumlah RM6.61 bilion.

Bagi tempoh sama tahun sebelumnya, syarikat minyak dan gas ini melaporkan kerugian bersih sebanyak RM216.03 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia pada Jumaat.

Kerugian ini sebahagian besarnya disebabkan rosot nilai muhibah bernilai RM3.29 bilion dan kemerosotan nilai ke atas hartanah, loji dan peralatan bernilai RM2.1 bilion.

Pendapatan kumpulan bagi tempoh itu juga susut kepada RM453.1 juta berbanding RM1.44 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan 2021, terutamanya disebabkan peratusan penyelesaian projek yang lebih rendah diiktiraf pada suku semasa hasil daripada pengiktirafan kerugian yang boleh dijangka dan kos projek yang lebih tinggi dalam segmen perniagaan Kejuruteraan dan Pembinaan (E&C).

Ia menyaksikan kerugian bersih Sapura Energy bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 (FY22) mencapai paras tertinggi setakat ini kepada RM8.9 bilion, berbanding kerugian bersih berjumlah RM160.87 juta.

Malah, pendapatan juga susut 22.8% kepada RM4.13 bilion daripada RM5.35 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Sapura Energy menyifatkan FY22 sebagai tempoh mencabar kepada kumpulan terutama dengan kemelut mudah tunai yang dihadapi kumpulan tidak pernah berlaku sebelum ini akibat daripada prestasi projek yang mencabar dan kos perkhidmatan hutang yang tidak mampan.

"Walaupun pemulihan pasaran pada sebahagian akhir tahun telah membawa prestasi yang lebih baik daripada segmen penggerudian kami, tetapi perniagaan E&C dan Operasi & Penyelenggaraan (O&M) kami terus menghadapi cabaran terutamanya disebabkan oleh gangguan daripada COVID-19 dan kekurangan akses kepada kemudahan modal kerja yang mencukupi.

"Keadaan kami diburukkan lagi dengan beberapa prestasi operasi yang kurang baik dalam projek tertentu," katanya.

Namun, jelas Sapura Energy, seperti yang diumumkan sebelum ini, kumpulan itu menyemak hala tuju perniagaannya dan meneliti prestasi semua kontrak sedia ada, yang menyebabkan ia mengiktiraf kerugian kewangan yang besar, termasuk caj rosot nilai yang ketara pada suku keempat.

Antara yang dilaksanakan termasuklah rundingan dengan pelanggan mengenai beberapa kontrak yang berprestasi rendah untuk mencari penyelesaian terbaik bagi memulihkan atau mengehadkan kerugian.

"Hasil daripada usaha ini akan dimaklumkan dalam pengumuman suku tahunan akan datang," jelasnya.

Dengan sokongan daripada pihak berkepentingan, kumpulan menyasarkan dapat menangani cabaran dari segi kewangan dan operasi bagi FY23.

Dalam dagangan petang ini, saham Sapura Energy antara paling aktif diniagakan di Bursa Malaysia.

Setakat 2.36 petang, harga sahamnya tidak berubah pada 3.5 sen dengan 42.75 juta saham diniagakan. - DagangNews.com