Zelan Bhd berjaya mengurangkan kerugian sebelum cukai dialaminya kepada RM64.84 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2017 berbanding RM67.06 juta pada 2016.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Zelan berkata perolehannya merosot secara ketara sebanyak 68.1 peratus kepada RM71.07 juta berbanding RM222.79 juta sebelum ini apabila tiga projek utama kini siap.

Menurut syarikat itu, hasil lebih rendah itu berikutan siapnya projek Bukit Bintang City Centre, kemudahan Jeti Pemunggahan Barangan dan projek Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta fasa utama projek Jambatan Angkat atau 'Drawbridge.'

Kekurangan itu bagaimanapun dapat ditampung oleh Pakej CB2 projek baharu Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang diperoleh syarikat itu pada Ogos 2016.

Bagi suku keempat berakhir 31 Dis, 2017, kerugian sebelum cukainya meningkat kepada RM59.34 juta daripada kerugian sebelum cukai RM39.74 juta manakala perolehan pula berkurangan kepada RM17.38 juta berbanding RM65.11 juta.

Bagi kemajuan masa depan, Zelan berkata ia akan terus melaksanakan usaha termasuk membida projek-projek pembinaan, melaksanakan strategi bagi mengawal kos serta pengurusan perniagaan.

-- BERNAMA