KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti pendekatan pengesahan umur secara pelapisan bagi mengenal pasti percanggahan maklumat umur serta pengesahan akaun yang disyaki dimiliki pengguna bawah 16 tahun.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pendekatan itu antara langkah yang sedang dipertimbangkan bagi menangani cabaran pelaksanaan pengesahan umur, khususnya kemungkinan pengguna bawah umur mengemukakan maklumat umur tidak tepat atau menggunakan identiti individu lain.
Beliau berkata akaun yang dikenal pasti melalui mekanisme berkenaan perlu menjalani proses pengesahan lanjut bagi menentukan kelayakan umur pengguna berdasarkan rekod rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport atau kaedah lain yang diiktiraf.
“Pendekatan ini turut mengambil kira keperluan pengesahan umur bagi akaun media sosial sedia ada, khususnya akaun yang mempunyai petunjuk ataupun maklumat yang menimbulkan keraguan mengenai umur sebenar pengguna.
“Dalam melaksanakan mekanisme tersebut, pemberi perkhidmatan juga perlu memastikan hanya maklumat yang diperlukan bagi tujuan pengesahan umur dikumpul dan diproses, di samping memastikan perlindungan data peribadi pengguna selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.
Teo menjawab soalan Dr V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) yang bertanyakan tentang mekanisme kerajaan untuk mengesan dan menangani akaun milik pengguna bawah 16 tahun yang masih aktif atau diwujudkan melalui maklumat umur dan identiti yang tidak tepat.
Di bawah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) yang berkuat kuasa pada 1 Jun lepas, penyedia perkhidmatan media sosial berlesen dikehendaki melaksanakan mekanisme pengesahan umur yang berkesan bagi memastikan hanya pengguna berumur 16 tahun dan ke atas dibenarkan mendaftar akaun media sosial serta mengakses ciri perkhidmatan yang bersesuaian dengan umur mereka.
Bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan itu, Teo berkata MCMC telah mengeluarkan arahan di bawah Seksyen 30 Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] kepada tiga penyedia perkhidmatan media sosial iaitu Meta, TikTok dan Google.
Ahli Parlimen Kulai itu berkata MCMC turut mengeluarkan notis di bawah Seksyen 32 akta sama bagi mendapatkan maklumat berhubung dengan pelaksanaan mekanisme pengesahan umur oleh pemberi perkhidmatan berkenaan.
“Pada masa ini, pelaksanaan mekanisme pengesahan umur masih dalam tempoh transisi. Sepanjang tempoh tersebut, MCMC melaksanakan pemantauan dan sesi libat urus secara berterusan bagi menilai tahap kesiapsiagaan serta pematuhan pemberi perkhidmatan terhadap keperluan yang telah ditetapkan,” katanya.
Dalam memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam talian, Teo berkata penetapan had umur minimum 16 tahun perlu disokong oleh ciri keselamatan yang bersesuaian dengan tahap umur dan perkembangan pengguna remaja, antaranya tetapan privasi secara lalai bagi akaun remaja, pengurusan tempoh penggunaan media sosial serta fungsi kawalan ibu bapa.
Ciri keselamatan itu katanya, berpotensi melengkapi mekanisme pengesahan umur dalam mengurangkan risiko buli siber, eksploitasi seksual, gangguan dalam talian dan penggunaan media sosial secara berlebihan.
Beliau berkata MCMC akan meneruskan pemantauan dan libat urus dengan penyedia perkhidmatan, selain meneliti perkembangan serta amalan di negara lain sebagai input bagi menambah baik kerangka perlindungan kanak-kanak dalam talian di Malaysia.
Teo berkata perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran digital tidak boleh bergantung pada teknologi dan penguatkuasaan undang-undang semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh melalui pendidikan, kesedaran serta penglibatan aktif ibu bapa, penjaga, guru dan masyarakat.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM58.7 juta bagi pelaksanaan Kempen Internet Selamat oleh MCMC yang menyasarkan murid dan pelajar, selain merangkumi program pendidikan, kesedaran dan advokasi kepada ibu bapa, penjaga, guru serta komuniti.
Teo berkata setakat 15 Nov lepas, kempen berkenaan telah dilaksanakan di 10,974 sekolah dan 141 institusi pengajian tinggi (IPT), selain 6,252 program kepada masyarakat umum yang melibatkan hampir 2.7 peserta di seluruh negara.
“Kerajaan komited untuk memastikan kemajuan teknologi dan juga pembangunan negara sentiasa seiring dengan usaha melindungi keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak,” katanya.
-- BERNAMA