KUALA LUMPUR: RHB Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor pembinaan dan memilih Kerjaya Prospek Group Berhad dan Sunway Construction Group Berhad sebagai pilihan utamanya, kerana kedua-dua syarikat ini boleh mengimbangi kekurangan projek infrastruktur mega awam.

Firma itu menetapkan saranan 'beli' untuk kedua-dua kumpulan itu dengan harga sasaran RM1.48 untuk Kerjaya Prospek dan RM2.07 untuk Sunway Construction.

Firma itu berkata, kekurangan projek infrastruktur baharu dalam perancangan, selain daripada Transit Aliran Massa 3 (MRT3), boleh terus melemahkan sentimen sektor pembinaan, selain peningkatan kos bahan binaan, seperti bar keluli.

Dengan mengambil kira perkara ini, pelabur harus mengamalkan pendirian taktikal terhadap sektor itu dengan kekurangan projek infrastruktur mega baharu dan kelewatan kontrak selanjutnya.

“Syarikat seperti Kerjaya Prospek (melalui perkongsiannya dengan Samsung C&T) dan Sunway Construction telah menceburi segmen bangunan industri, iaitu kilang dan pusat data, yang memperoleh margin lebih tinggi berbanding projek pembinaan biasa.

“Selain itu, rancangan Amazon.com Inc untuk melabur RM25.5 bilion di Malaysia menjelang 2037 mungkin mengujakan ruang pusat data, kerana pelaburan itu termasuk infrastruktur pengkomputeran awan," kataya dalam satu nota kajian, hari ini.

Sementara itu, firma itu berkata, potensi pengurangan kos projek untuk MRT3, daripada RM50.2 bilion kepada kurang RM45 bilion tidak menjejaskan sambil menambah ketidaktentuan dari segi garis masa masih menjadi kebimbangan kontraktor memandangkan kekurangan projek infrastruktur besar lain.

“Berdasarkan anggaran kami, kajian kos itu memakan masa antara tiga hingga lima bulan.

"Kontraktor utama akan menunggu lebih lama dan keadaan itu menyaksikan pakej subkontrak akan menjadi lebih lama," katanya. - DagangNews.com