KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih TH Plantations Bhd (THP) susut 63 peratus kepada RM9.76 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM26.57 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas disebabkan oleh "perubahan nilai saksama dalam aset biologi."

Perubahan nilai saksamanya dalam aset biologi menguncup 288.5 peratus kepada negatif RM20.90 juta daripada RM11.08 juta sebelum ini.

Perolehan bagaimanapun, meningkat 42 peratus kepada RM250.45 juta berbanding RM176.15 juta berikutan hasil yang lebih tinggi daripada realisasi purata harga yang lebih baik bagi minyak sawit mentah (MSM), isirong (PK) dan tandan buah segar (FFB).

Purata harga direalisasikan untuk MSM serta PK masing-masing melonjak 59 peratus dan 61 peratus kepada RM5,346 dan RM3,960 satu tan.

Bagaimanapun, jumlah jualan adalah lebih rendah bagi MSM dan PK, masing-masing menurun sebanyak 5.5 peratus serta 3.1 peratus kepada 63,092 tan dan 15,086 tan.

THP menjangkakan harga produk minyak sawit kekal kukuh serta akan disokong sepanjang separuh kedua tahun ini, memandangkan tahap inventori Malaysia yang agak rendah secara keseluruhan, permintaan yang stabil dan bekalan minyak boleh dimakan global yang terhad.

"Kumpulan ini akan terus menghadapi cabaran kekurangan tenaga kerja asing yang teruk sepanjang 2022.

"Oleh itu, kumpulan akan mengambil semua langkah yang mungkin untuk menangani masalah kekurangan tenaga kerja asing.

"Tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak dijangka, lembaga pengarah meramalkan prestasi kewangan bagi tahun kewangan 2022 akan memuaskan," katanya.

-- BERNAMA