Keuntungan operasi kumpulan Singapore Airlines (SIA) jatuh sebanyak 94.5 peratus dalam tahun kewangan yang berakhir 31 Mac, 2020 kepada S$59 juta disebabkan terutamanya impak daripada pandemik COVID-19 ke atas industri penerbangan pada suku keempat.

Sementara itu hasil syarikat penerbangan nasional Singapura itu turun 2.1 peratus kepada S$15,976 juta berikutan hasil penerbangan yang rendah manakala kerugian bersih bagi tahun kewangan itu ialah sebanyak S$212 juta.

SIA dalam satu kenyataan hari ini berkata prospek pemulihan perjalanan udara antarabangsa pada bulan-bulan yang akan datang bergantung kepada bila kawalan sempadan dan sekatan perjalanan dilonggarkan.

"Kumpulan akan mengekalkan minimum sambungan penerbangan dalam rangkaiannya semasa tempoh ini, di samping memastikan fleksibiliti bagi meningkatkan kapasiti sekiranya berlakunya peningkatan permintaan," kata syarikat penerbangan itu.

Dalam pada itu, SIA berkata permintaan terhadap barangan penting seperti bekalan perubatan, farmaseutikal dan makanan segar masih mengatasi kapasiti muatan penumpang udara.

"Ini dijangka mengekalkan hasil kargo dalam tempoh terdekat ini.

"Kami juga akan terus mencari peluang dalam bahagian carter di samping memantau dengan rapat perubahan permintaan," kata syarikat penerbangan itu.

Memandangkan harga bahan api dijangka terus lemah dalam tempoh terdekat ini, kumpulan itu menjangkakan kerugian seterusnya dalam lindung nilai bahan api.

-- BERNAMA