Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini mengumumkan keputusan kewangannya untuk sembilan bulan bagi tahun Kewangan 2018.

TNB mencatat pendapatan stabil sebanyak RM37.85 bilion manakala perbelanjaan operasi (OPEX) berjumlah RM32.24 bilion.

EBITDA kumpulan dicatatkan pada RM10.89 billion dengan margin EBITDA pada 28.8%.

Keuntungan TNB selepas Cukai atau PAT pula direkodkan rendah pada RM3.90 billion, berbanding 9BTK2018 pada RM5.18 bilion.

Berikutan ketidaktentuan global dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia, Malaysia turut menurunkan unjuran kadar pertumbuhan KDNK yang diumumkan sebelum ini daripada 5.0-5.5% kepada 4.8% untuk 2018.

Semakan yang didokumenkan dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2019, disokong oleh pertumbuhan KDNK sebenar hanya 4.4% yang dicatatkan pada suku ketiga 2018.

Walau bagaimanapun, prestasi Kumpulan bagi tahun berakhir 31 Disember 2018, dijangka kekal positif.

"Kami mencatat pencapaian cemerlang dengan skor 8.1 bagi Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI), iaitu di kuartil teratas dalam industri," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd.

"Baru-baru ini, TNB telah menduduki tempat keempat di dunia dalam Laporan 'Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2019' bagi kemudahan untuk mendapatkan bekalan elektrik. Pengiktirafan ini diberikan dengan mengukur prosedur, masa dan kos yang diperlukan perniagaan untuk mendapatkan penyambungan elektrik kekal, bekalan berdaya harap dan indeks tarif yang telus," katanya.

Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie pula menyatakan bahawa TNB lebih cekap dalam penambahbaikan kehidupan Malaysia secara amnya, dan penduduk luar bandar secara khusus.

"TNB telah berjaya menyempurnakan pemasangan lebih 21,000 lampu jalan luar bandar, iaitu hampir 90 peratus pencapaian tahunan, di bawah Projek Lampu Jalan Kampung, kata Leo.

"Kami percaya bahawa usaha ini bukan sahaja mencerahkan kawasan luar bandar, bahkan menyumbang kepada ciri-ciri keselamatan yang sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat," tambahnya.