SHAH ALAM: Bekas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Ong Kian Ming mencadangkan agar individu yang dijemput untuk berucap dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (BEC) tidak hanya terhad kepada masyarakat Bumiputera sahaja.

Menurut Kian Ming, ia berikutan ramai usahawan dari kalangan masyarakat bukan Bumiputera yang ingin menyumbangkan pandangan dan pengalaman mereka dalam perbincangan tersebut.

“Saya gembira jika mengambil bahagian dalam BEC seperti ini untuk menyumbang pemikiran sebagai pembuat dasar selaras dengan objektif wawasan Ekonomi Madani.

“Sekiranya Yayasan Peneraju menjadi salah satu penganjur utama BEC dengan pelantikan Ibrahim Sani Asnan Mohamad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu merupakan perkara amat menggalakkan.

“Saya yakin beliau (Ibrahim Sani) akan membawa pengalaman dan pendedahan bertahun-tahun kepada sektor korporat melalui peranannya sebagai ahli media,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, BEC akan diadakan pada Januari tahun depan bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.

Ujar beliau, semua perancangan dalam agenda pemerkasaan Bumiputera sebelum ini hanya memusatkan kayu ukur penyertaan kumpulan dalam ekonomi berdasarkan pemilikan ekuiti semata-mata.

Tambah Kian Ming, syarikat diterajui bumiputera perlu bekerjasama dengan organisasi bukan bumiputera yang merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan dalam pelbagai sektor ekonomi di Malaysia.

“Selain itu, kementerian dan agensi kerajaan juga perlu bersama-sama dengan ahli akademik serta pihak berkepentingan lain seperti persatuan industri untuk menilai keberkesanan program keusahawanan Bumiputera.

“Kajian-kajian ini harus menyerlahkan kisah kejayaan tetapi juga jujur tentang kelemahan kebanyakan program, contohnya sejauh mana permit import (AP) berjaya mewujudkan syarikat Bumiputera dalam sektor automotif.

“Banyak juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempunyai program pembangunan vendor Bumiputera termasuk dalam sektor minyak dan gas di bawah Petroliam Nasional Bhd (Petronas) serta telekomunikasi,” jelasnya.

Kian Ming berkata, rekod prestasi dana pelaburan modal teroka (VC) dan ekuiti persendirian (PE) tertentu yang diwujudkan kerajaan dengan objektif pemerkasaan ekonomi bumiputera dalam industri yang berbeza juga perlu dinilai.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian