Koperasi Hartanah Malaysia Berhad (KOHAMA) akan membangunkan 70,000 unit rumah di bawah projek Kediaman Mampu Milik 1Malaysia (KMM1M) di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Jali Sekak berkata, pembinaan projek rumah itu telah bermula pada awal tahun dengan pembinaan 250 unit di Sungai Siput, Perak yang akan dijual pada harga bermula RM190,000 sehingga RM300,000 seunit.

"Kami merancang membina KMM1M di setiap daerah di seluruh negara apabila projek seterusnya akan dijalankan pula selepas ini di Melaka dan Negeri Sembilan.

"Kami mendapat sambutan yang menggalakkan di Sungai Siput apabila kesemua unit kediaman habis dijual. Ia sekali gus memberi keyakinan kepada KOHAMA bahawa KMM1M mampu merealisasikan hasrat kerajaan untuk membantu rakyat negera ini memiliki rumah sendiri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

KOHAMA diluluskan oleh mesyuarat agung permulaan di bawah Akta Koperasi pada 3 April 2014 sebagai sebuah koperasi asas dengan liabiliti terhad, di bawah subseksyen 7/(1) Akta Koperasi 1993 dan telah dimeteraikan pada 25 April 2014.

Katanya KOHAMA juga akan menumpukan rumah teres jenis satu tingkat itu ditawarkan pada harga RM130,000 berbanding harga pasaran yang dianggarkan dalam lingkungan RM200,000 selain mengakui pembangunan itu tidak mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.

"Apatah lagi, kediaman yang kami jual lebih murah antara 30 hingga 40 peratus daripada harga pasaran dan mendapat diskaun tambahan lagi jika menjadi Ahli Kelab KOHAMA," katanya.

Dalam pada itu jelas Jali pembinaan KMM1M ini merupakan sebahagian daripada visi KOHAMA dalam usaha membantu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pemilikan kediaman untuk rakyat negara ini.

"Lebih menarik apabila projek di Sungai Siput dijangka siap awal tahun depan iaitu awal setahun daripada yang dijangkakan," jelasnya.

Katanya lagi, dalam usaha meningkat taraf hidup dan kedudukan ekonomi rakyat Malaysia, KOHAMA bersedia memikul tanggungjawab bagi melaksanakan program KMM1M serta pemilikan hartanah untuk memastikan golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman yang mampu dimiliki khasnya bumiputera.

"Kita juga terlibat dalam pembinaan infrastruktur penting terutamanya dalam kejuruteraan awam dan pembinaan di kedua-dua struktur dalam pembinaan yang konvensional bagi pihak Kerajaan dan Swasta," ujarnya.