[KOLUMNIS] Belanjawan 2026 pembuka tirai RMK13
![[KOLUMNIS] Belanjawan 2026 pembuka tirai RMK13 [KOLUMNIS] Belanjawan 2026 pembuka tirai RMK13](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-09/61759210297_tbBUDI.jpg)
Belanjawan 2026 hadir ketika mood rakyat masih dibayangi dengan pemberian beberapa insentif termasuk bayaran khas RM100 dan pembelian minyak RON95 yang dijual pada harga RM1.99 seliter. - Gambar hiasan
DALAM beberapa jam lagi Belanjawan 2026 bakal dibentangkan.
Belanjawan 2026 akan hadir ketika mood rakyat masih dibayangi dengan pemberian beberapa insentif, di bawah dasar terbaharu bantuan kepada rakyat, termasuk bayaran khas RM100 kepada setiap rakyat yang berusia 18 tahun ke atas, dan pembelian minyak RON95 yang dijual pada harga RM1.99 seliter, penurunan enam sen di bawah sistem terbaharu.
Ada banyak lagi dasar dan pendekatan yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak pertengahan tahun ini. Kesemua ini berlaku dalam tempoh tiga, empat bulan yang lalu.
Kedua-dua bayaran khas RM100 dan harga minyak RON95 telah diumumkan oleh Perdana Menteri menerusi Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat pada Julai lalu.Malah rakyat juga berkongsi pelbagai cadangan dan pandangan semasa sesi jerayawara anjuran Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya (UM) sempena Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Meskipun sesi libat urus awam dan perbincangan kumpulan berfokus diadakan dengan fokus adalah RMK13, ada juga pandangan, syor dan input yang dikongsi berkaitan dengan dasar dan inisiaitif yang bolehdilaksanakan tanpa melalui peringkat RMK13.
Sebaliknya, pandangan yang dikongsi boleh dilaksanakan di pelbagai peringkat pengurusan dan pentadbiran termasuk pelaksanaan Belanjawan 2026 mulai Januari akan datang.
Bermakna rakyat meletakkan harapan yang tinggi agar kerajaan akan memperkenalkan lebih banyak rangka kerja membina bagi meningkatkan kualiti hidup.
Hari ini, sebagaimana kerajaan, rakyat juga berhadapan dengan pelbagai cabaran bagi memartabatkan kehidupan mereka.
Salah satu cabaran mereka berhadapan ialah impak kos sara hidup kepada setiap warganegara. Harapan-harapan ini bukan perkara baharu.
Sebaliknya ia menjadi sebahagian daripada elemen penting dalam ekosistem kehidupan, yang telah kita saksikan dan alami sejak dahulu lagi.
Kalau hendak dikhususkan tempohnya ia harapan dan pengalaman berlaku sejak negara merdeka.
Dan, sudah pasti akan terus kita saksikan. Cuma pada hari ini rupa wajah harapan itu berbeza. Isunya bagaimana kerajaan hendak menggunakan manfaat mereka untuk membawa lebih banyak elemen positif demi rakyat.
Belanjawan 2026 merupakan belanjawan pertama di bawah RMK13 (2026-2030).
Pada masa sama Belanjawan 2026 merupakan siri keempat Belanjawan MADANI, dirangka bagi meneruskan Kerangka Ekonomi MADANI.
Belanjawan tahun depan memfokus kepada usaha memulih daya tahan fiskal, memperkukuh asas ekonomi dan mengangkat darjat hidup rakyat.
Justeru itu, berdasarkan maklumat awal yang pernah dikongsi oleh Kementerian Kewangan sebelum ini, Belanjawan 2026 akan terus menelusuri tiga tonggak Ekonomi MADANI, iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai taraf hidup rakyat dan memacu pembaharuan, terutamanya tatakelola baik.
Ketiga-tiga tonggak ini juga ada digariskan dalam Laporan RMK13 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai lalu.
Pada petang ini, Anwar selaku Menteri Kewangan akan berdiri di Dewan Rakyat bersama “fail rahsia besar” yang mempunyai siri dasar, program dan insentid kerajaan untuk negara menerusi belanjawan keempat beliau sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Belanjawan 2026 dilihat akan meneruskan momentum berpandukan asas kukuh yang dibina dalam Belanjawan MADANI terdahulu.
Menurut Kementerian Kewangan, “berdepan ketidaktentuan global dan peningkatan persaingan, tumpuan Belanjawan 2026 terarah kepada penyampaian agenda ekonomi Malaysia jangka panjang di samping menangani cabaran jangka pendek bagi mengekalkan momentum pertumbuhan dan melindungi daya tahan ekonomi.”
Pada masa sama, menurut Perbendaharaan, usaha akan diambil bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi bantuan lebih bersasar berteraskan keberhasilan ke arah menambah baik kualiti hidup.
Tumpuan utama tahun hadapan akan berteraskan kepada tiga tonggak Ekonomi MADANI selain merupakan pemula kepada pelaksanaan RMK13.
Belanjawan 2026 dimaklumkan akan terus memacu pendekatan berasaskan akar umbi dan berorientasikan rakyat, yang meletakkan keperluan komuniti sebagai nadi dasar awam.
Dalam merangka Belanjawan 2026, kerajaan telah menggunakan pendekatan itu dengan mendapatkan maklum balas secara aktif daripada rakyat, perniagaan dan pihak berkepentingan bagi memastikan dasar nasional adalah selari dengan realiti semasa.
Selari dengan penekanan dalam RMK13, aspirasi Belanjawan 2026 dilihat akan memacu reformasi sektor awam dalam memperkukuh tadbir urus, mempertingkat penyampaian perkhidmatan dan menjamin kemampanan fiskal.
Antaranya, memodenkan perkhidmatan awam, memperkenal kerangka dan perundangan yang meningkatkan prestasi perkhidmatan awam serta memperkukuh prinsip integriti dan tadbir urus beretika.
Sebelum ini, kerajaan telah mengambil usaha memperkukuh integriti dan tadbir urus fiskal dalam meningkatkan piawaian tadbir urus negara.
Belanjawan 2026 menurut kerajaan dirangka melalui pembaharuan sedia ada di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal dan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028.
Menariknya usaha itu akan diperkukuh melalui pengenalan rang undang-undang utama termasuk Akta Perolehan Kerajaan yang telah pun oleh Parlimen baru-baru ini, Akta State-Owned Enterprises, Akta Ombudsman dan Akta Kebebasan Maklumat demi memperkukuh ketelusan, mengurangkan ketirisan sumber awam serta memulihkan keyakinan pasaran dan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.
Belanjawan 2026 juga dirangka bagi memacu penilaian berasaskan prestasi, pembangunan keupayaan dan pendekatan akauntabiliti di bawah Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025; bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang tangkas, celik digital dan bersedia untuk melaksanakan Ekonomi MADANI dengan integriti dan pantas.
Dalam merealisasikan tonggak menaikkan siling menerusi Belanjawan 2026, kerajaan berhasrat untuk mengubah Malaysia menjadi destinasi pelaburan yang memudah cara, kompetitif, yang memberi ganjaran kepada inovasi, mengutama kemampanan jangka panjang dan meletakkan negara di barisan hadapan penciptaan nilai ekonomi.
Di bawah tonggak menaikkan lantai dan taraf hidup rakyat, Belanjawan 2006 dilihat akan mengangkat asas kehidupan rakyat dan memastikan pertumbuhan ekonomi memberi kesan langsung kepada kualiti hidup rakyat yang lebih baik.
Tonggak menaikkan lantai berkait rapat dengan agenda transformasi yang lebih luas di bawah menaikkan siling
.Tonggak ini, sebagaimana telah ditekankan dalam laporan RMK13, mahu menjunjung prinsip ekonomi yang adil bagi memastikan keselamatan, maruah dan peluang saksama untuk semua.
Antara tumpuan termasuklah akses sejagat kepada perkhidmatan asas, upah yang adil, perlindungan sosial kukuh dan peluang bagi setiap rakyat untuk maju ke hadapan.
Sebagaimana belanjawan-belanjawan sebelum ini, rakyat sedang menanti pengenalan dasar dan pendekatan yang boleh memartabatkan kualiti kehidupan rakyat, di kesemua peringkat.
Ketiga-tiga tonggak yang telah dihuraikan akan menjadi asas kepada Belanjawan 2026.
Berdasarkan pandangan yang diterima di lapangan, harapan kesemua sektor kehidupan – orang-perseorangan, anggota keluarga, penjawat awam, pekerja swasta, industri dan peniaga, serta mereka yang telah bersara mengharapkan pelan belanjawan yang konstruktif.
Ketika ramai terutama aktor-aktor politik sudah mula memfokus untuk menghadapi PRU16, ada yang menyifatkan Belanjawab 2026 sebagai “belanjawan pilihan raya”, di mana kita boleh menjangkakan pengumuman yang mampu membawa “wow factor”.
2026 juga merupakan Tahun Melawat Malaysia. Kita akan melihat akan pengumuman tambahan untuk menjayakan program itu.
Kebelakangan ini negara juga berhadapan dengan beberapa isu sosial, termasuk kes-kes buli, yang memerlukan tindakan segera untuk membetulkan keadaan. Belanjawan 2026 kemungkinan akan ada remedi awal.
Melihat kepada peruntukan bersejarah bagi Belanjawan 2025 dan peningkatan dana projek pembangunan di bawah RMK13, Belanjawan 2026 dilihat akan mewarisi pendekatan tambah dana tanpa kompromi dalam dasar fiskal kewangan.
Maka, kita boleh mengharapkan satu belanjawan yang cukup menarik dan bersifat “mudah dan terus” tetapi dengan sasaran yang lebih konstruktif.
Kita menanti jam 4 petang – waktu pembentangan!
• Dr G Manimaran Koordinator Media Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya (UM), dan penganalisis pilihan raya.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami