BUSINESS
[KOLUMNIS] Meneliti potensi implikasi ekonomi tarif timbal balik AS ke atas ekonomi Malaysia
![[KOLUMNIS] Meneliti potensi implikasi ekonomi tarif timbal balik AS ke atas ekonomi Malaysia [KOLUMNIS] Meneliti potensi implikasi ekonomi tarif timbal balik AS ke atas ekonomi Malaysia](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-04/41743734432_tbtradetariffDon.jpg)
Hasil analisis oleh Centre for Future Studies Berhad atau THE FUTURE mendapati kesan langsung akibat pengenaan tarif timbal balik ini ke atas ekonomi Malaysia adalah signifikan. - Foto REUTERS
AMERIKA Syarikat (AS) merupakan antara rakan dagangan utama Malaysia dengan catatan eksport sekitar RM198.6 billion pada 2024 atau 13.2% daripada keseluruhan jumlah eksport negara. Nilai import keluaran AS ke Malaysia pula lebih rendah dengan RM126.3 billion pada 2024 bersamaan 9.2% daripada keseluruhan import negara. Ini menjadikan lebihan dagangan Malaysia berjumlah RM72.3 billion.
Sejak tahun 1989 sehingga 2023 keluaran ekport Malaysia ke AS menikmati kadar tarif yang rendah dengan kadar purata antara 2.9% sehingga 6.6%. Dalam tempoh tersebut juga menyaksikan Malaysia menikmati kadar tarif yang semakin berkurangan.
Pada 03 April 2025, Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif timbal balik 24% ke atas import dari Malaysia berkuat kuasa 9 April 2025. Menurut perintah eksekutif yang ditandatangani oleh Presiden Donald Trump semalam, Malaysia antara 49 negara yang tersenarai dikenakan tarif timbal balik. Ini termasuk rakan dagangan utama Malaysia seperti China, Kesatuan Eropah (EU), India dan Jepun.
Hasil analisis oleh Centre for Future Studies Berhad atau THE FUTURE mendapati kesan langsung akibat pengenaan tarif timbal balik ini ke atas ekonomi Malaysia adalah signifikan.Peningkatan nilai tarif yang besar ini berpotensi menyumbang kepada penyusutan nilai eksport Malaysia ke AS sebanyak RM187.6 billion. Jika Malaysia mengambil langkah untuk tidak mengenakan timbal balik tarif, lebihan dagangan Malaysia-AS dijangka menjadi defisit kepada RM108.5 billion pada 2025.
Peningkatan tarif oleh AS menyebabkan kos barangan Malaysia menjadi lebih mahal, menjadikannya kurang berdaya saing berbanding pembekal domestik atau pembekal asing lain. Ini mengurangkan permintaan daripada pembeli AS, seterusnya mengurangkan eksport Malaysia ke AS.
Penyusutan dalam nilai eksport Malaysia ke AS dijangka akan mengurangkan penjanaan KDNK sebanyak RM32.9 billion. Akibatnya, kadar penciptaan guna tenaga berkurangan sebanyak 269 ribu orang dan penyusutan gaji dan upah dan hasil kutipan cukai tak langsung masingmasing sebanyak RM10.7 billion dan RM0.6 billion.
Analisis ini bagaimanapun tidak mengambil kira kesan tak langsung di sepanjang rantaian pembekalan global yang bakal diterima oleh Malaysia akibat daripada pengenaan tarif timbal balik AS ke atas rakan dagangan utama negara seperti China dan EU.
Oleh yang demikian, THE FUTURE menekankan keperluan pihak kerajaan melaksanakan penilaian ekonomi secara komprehensif akibat pengenaan tarif timbal balik ke atas 49 negara bagi membolehkan langkah susulan diambil. Dalam situasi ini, mengimbangi impak “perang” tarif ini amat penting bagi memastikan usaha pembaharuan ekonomi tidak terjejas.
THE FUTURE berdedikasi menerajui perubahan transformasi ekonomi dan pasaran buruh di Malaysia melalui penyelidikan berasaskan bukti dengan matlamat untuk memaklumkan kepada penggubal dasar, perniagaan dan orang ramai tentang implikasi daripada perubahan transformasi ini.
PERINCIAN ANALISIS
Apakah Tarif Timbal Balik?
Konsep tarif timbal balik yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS) merujuk kepada pendekatan dasar perdagangan di mana US berhasrat untuk mengenakan kadar tarif yang sama ke atas sesebuah negara seperti mana negara tersebut mengenakan tarif ke atas eksport dari AS.
Di bawah pendekatan ini, sekiranya rakan dagang mengenakan tarif yang lebih tinggi ke atas barangan keluaran AS berbanding tarif yang dikenakan oleh AS ke atas barangan dari negara tersebut, Washington akan melaraskan kadar tarifnya untuk “menyamai” atau “mencerminkan” kadar tersebut.
Pendekatan ini bertujuan untuk memastikan perdagangan yang “adil dan seimbang”, menurut penyokong dasar ini, terutamanya golongan yang cenderung kepada pendekatan perlindungan (protectionist) atau nasionalisme ekonomi.
Apakah Implikasi Langsung Kepada Malaysia?
Implikasi langsung ke atas ekonomi Malaysia diringkaskan pada Rajah 1 di bawah. Analisis ini dijana dengan menggunakan model econometric dan input-output. Analisis ini dihasil berdasarkan andaian berikut.
1. Analisis hanya mengambil kira impak langsung kenaikkan tarif oleh AS kepada Malaysia sebanyak 24% ke atas keseluruhan produk eksport.
2. Tiada tindak balas peningkatan tarif import oleh Malaysia ke atas produk AS.

Implikasi tarif timbal balik ke atas ekonomi Malaysia
Kepentingan Penilaian Implikasi Ekonomi Tidak Langsung daripada Tarif Timbal Balik AS ke atas Rakan Dagang Malaysia
Di samping implikasi langsung daripada pengenaan tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap eksport Malaysia, adalah penting bagi kerajaan Malaysia untuk turut memberi perhatian terhadap impak ekonomi tidak langsung yang disalurkan melalui rantaian nilai global (Global Value Chain, GVC).
Perkara ini menjadi lebih kritikal memandangkan rakan dagang utama Malaysia seperti China, Kesatuan Eropah (EU), India dan Jepun turut dikenakan tindakan tarif yang sama oleh AS (rujuk Rajah 2).
Saiz dan sifat impak tidak langsung ini sangat bergantung kepada sama ada pengenaan tarif oleh AS dilaksanakan secara seragam ke atas semua rakan dagang Malaysia.
Jika tarif dikenakan secara tidak seragam, tekanan kos, gangguan bekalan dan perubahan dalam corak perdagangan akan berlaku secara tidak sekata merentasi sektor-sektor, sekali gus menyukarkan proses penyesuaian input dan pasaran alternatif.
Ini akan mewujudkan “gangguan” yang tidak dapat dikesan melalui data perdagangan konvensional, tetapi akan muncul melalui penurunan daya saing, ketidaktentuan pelaburan dan tekanan terhadap produktiviti.
Sehubungan itu, penilaian yang menyeluruh perlu merangkumi simulasi berasaskan GVC dan penilaian risiko rantaian bekalan bagi mengenal pasti kesan gandaan dan limpahan antara sektor.
Pendekatan ini membolehkan pihak kerajaan mengenal pasti kerentanan struktur serta menggubal langkah intervensi yang bersasar – termasuklah diversifikasi rantaian bekalan, penyediaan penampan fiskal, serta pemudahcara perdagangan dua hala atau serantau – bagi mengurangkan kesan ekonomi yang berpanjangan

Tarif timbal balik ke atas rakan dagangan utama Malaysia dan peratus sumbangan kepada eksport Malaysia
* Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari adalah Ketua Ekonomi Buruh di Kementerian Sumber Manusia dan Emiratis, UAE. Beliau aktif memantau perkembangan ekonomi dan pasaran buruh di Malaysia melalui Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), THE FUTURE
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami