Skip to main content

Bisnes

Konflik Asia Barat: Kerajaan akan kaji semula cadangan pelaksanaan cukai karbon - Arthur

PUTRAJAYA, 15 April -- Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup ketika ditemui media selepas Sambutan Hari Penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar di Bangi Aveneu Convention Centre hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Arthur berkata, kerajaan perlu memastikan kredit karbon disahkan sebelum memperkenal akta bagi menjamin pematuhan oleh industri, selain menubuhkan daftar karbon untuk mengumpul data. - Gambar/ Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji semula cadangan pelaksanaan cukai karbon susulan konflik di Asia Barat, bagi mengelakkan beban tambahan kepada rakyat.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kerajaan buat masa ini akan memberi tumpuan kepada pembentukan rangka kerja bagi mengumpul kredit karbon.

Advertisement

“Kerajaan berhasrat melaksanakan cukai karbon, namun kita perlu mengambil kira masa yang sesuai. Pengumuman mengenai cukai karbon dalam Belanjawan 2026 dibuat sebelum konflik Asia Barat.

“Sebagai kerajaan, kita perlu berpijak pada realiti dan mengambil kira keadaan geopolitik semasa agar tidak membebankan industri serta rakyat. Kita mungkin akan mengkaji semula cukai karbon, namun perkara itu di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan (MoF) manakala kementerian kita menyediakan rangka kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melancarkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan sempena majlis pembukaan Persidangan Perubahan Iklim dan Kelestarian 2026, di sini, pada Selasa.

Arthur berkata, kerajaan perlu memastikan kredit karbon disahkan sebelum memperkenal akta bagi menjamin pematuhan oleh industri, selain menubuhkan daftar karbon untuk mengumpul data.

Beliau turut mengingatkan agar pihak industri tidak menjadikan penangguhan cukai ini sebagai alasan melengahkan agenda hijau negara.

“Kita tetap perlu bergerak ke arah ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui kerana bahan api fosil adalah sumber terhad, sama ada berlaku krisis tenaga atau tidak, janganlah kita leka dan terlalu bergantung kepada bahan api fosil,” ujarnya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rancangan untuk memperkenal cukai karbon mulai tahun ini dengan tumpuan awal kepada sektor besi, keluli dan tenaga sebagai sebahagian daripada usaha negara memperkukuh tindakan iklim dan menyokong pertumbuhan ekonomi rendah karbon.

Sementara itu, mengenai undang-undang dan dasar berkaitan karbon yang berasingan di Sabah dan Sarawak, Arthur memberitahu, Kerajaan Persekutuan akan menumpukan kepada aspek penyelarasan.

Katanya, ini bagi menjamin rangka kerja peringkat negeri selaras dengan dasar negara dan obligasi pelaporan antarabangsa.

Must Watch Video