GAZA: Sumber perubatan di Semenanjung Gaza pada Jumaat memberi amaran mengenai krisis serius yang semakin meruncing dan mengancam nyawa ribuan pesakit susulan kekurangan ubat-ubatan penting serta bekalan perubatan, selain penangguhan ribuan prosedur pembedahan, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Sumber itu berkata lebih 4,000 pesakit kanser dan ribuan pesakit dialisis buah pinggang kini berdepan risiko serius akibat kekurangan ubat-ubatan penting dan menyelamatkan nyawa.
Ia menambah lebih satu pertiga daripada senarai ubat-ubatan penting telah kehabisan stok sepenuhnya.
Menurut sumber itu, sebanyak 726 jenis ubat-ubatan, bahan guna habis perubatan dan bekalan makmal kini tidak tersedia di stor perubatan pusat, termasuk 180 ubat penting daripada 520 jenis, serta 50 ubat onkologi daripada 97 jenis.
Sumber itu turut memaklumkan berlaku kekurangan serius penapis dialisis, benang jahitan pembedahan dan bahan kateterisasi jantung, sekali gus memaksa penangguhan pelbagai prosedur dan pembedahan.
Ia turut melaporkan sebanyak 79 item makmal dan 265 bahan guna habis perubatan khusus telah kehabisan stok, manakala lebih 11,000 pembedahan tertangguh akibat kekurangan bekalan dan kekangan kewangan yang berterusan.
-- BERNAMA-WAFA