Unit Keppel Offshore & Marine Ltd (Keppel O&M) memperoleh tiga kontrak baharu -- bernilai S$420 juta -- menjadikan jumlah projek dalam tangan kumpulan itu bagi tahun 2012 sebanyak S$9.9 bilion.

Dalam kenyataan hari Khamis, ketua pegawai eksekutifnya Tong Chong Heong berkata berdasarkan keyakinan dan sokongan yang kukuh daripada pelanggan baharu dan berulang, Keppel O&M terus menjadi penyedia pilihan untuk pelbagai projek luar pesisir dan marin.

"2013 merupakan tahun yang sibuk untuk kami selain meneruskan tumpuan ke atas kualiti pelaksanaan semua projek -- kami komited dalam memastikan ia dilaksanakan dengan selamat dan segera serta memuaskan pelanggan.

"Kami juga meningkatkan keupayaan mereka dan meluaskan perkhidmatan bernilai tambah," katanya.

Keppel Singmarine Pte Ltd memperoleh dua daripada tiga kontrak baharu dengan kontrak ketiga dimenangi Keppel Shipyard Ltd.