Skip to main content

Dunia

Masjidil Haram terima kunjungan jemaah pada Jumaat pertama Ramadan

61739809710_kaabahhajiarabs.jpg
Bagi menampung kehadiran orang ramai, langkah organisasi yang komprehensif telah dilaksanakan. - AP

MAKKAH: Masjidil Haram di Makkah menyaksikan kehadiran luar biasa jemaah pada solat Jumaat pertama Ramadan, dengan umat Islam dari seluruh dunia memenuhi koridor dan pekarangan masjid sejak awal pagi, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Bagi menampung kehadiran orang ramai, langkah organisasi yang komprehensif telah dilaksanakan, memberi tumpuan kepada pengurusan aliran jemaah yang lancar, sanitasi, serta perkhidmatan bimbingan.

Advertisement

Usaha di lapangan itu memastikan pergerakan jemaah berjalan lancar, sekali gus membolehkan mereka menunaikan ibadah dengan mudah dan selesa.

Perhimpunan kerohanian itu mengukuhkan lagi peranan Masjidil Haram sebagai pusat penyatuan dunia Islam dan menonjolkan komitmen berterusan Arab Saudi dalam menyediakan pengalaman yang luar biasa dan memberikan ketenangan kepada pengunjung di Makkah.

Sementara itu, Imam Masjidil Haram Sheikh Abdullah Al-Juhani dalam khutbah Jumaatnya mengingatkan jemaah bahawa kehidupan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat semasa Ramadan dicirikan dengan ibadah yang aktif dan amal kebajikan.

Beliau menekankan bahawa matlamat murni berpuasa adalah untuk mencapai ketakwaan dan memelihara peribadi daripada perbuatan yang dilarang.

Sheikh Al-Juhani turut menggesa umat Islam untuk mematuhi adab kenabian, dengan menekankan kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur.

Beliau mengakhiri khutbah dengan menyeru umat Islam untuk merebut peluang pada musim yang penuh barakah ini melalui ibadah yang tekun dan amal soleh, sambil menyatakan bahawa Ramadan adalah tempoh istimewa apabila doa dimakbulkan dan rahmat ilahi melimpah-ruah.

-- BERNAMA-SPA

Must Watch Video