Skip to main content

Dunia

Singapura longgarkan langkah kawalan terhadap wabak virus Nipah susulan situasi kembali stabil

71725854274_singapura.jpg
Menurut CDA, Kementerian Tenaga Manusia akan mengekalkan langkah pengawasan semasa di pusat ketibaan bagi pekerja asing yang baharu tiba. - Gambar fail

SINGAPURA: Singapura akan melonggarkan beberapa langkah kesihatan awam secara progresif sebagai tindak balas terhadap wabak jangkitan virus Nipah memandangkan keadaan kini telah kembali stabil, menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA).

Dalam satu kenyataan, CDA memaklumkan bahawa setakat ini tiada kes jangkitan virus Nipah dilaporkan di Singapura yang berkaitan dengan wabak di Benggala Barat, India atau Bangladesh.

Advertisement

Ia berkata situasi virus Nipah di Benggala Barat telah stabil tanpa sebarang kes baharu dilaporkan, manakala tiada transmisi manusia-ke-manusia dikesan di Bangladesh.

"Susulan perkembangan ini, bermula 23 Feb 2026, CDA akan menghentikan saringan suhu di lapangan terbang dan pelabuhan bagi penerbangan serta kapal yang tiba dari kawasan terjejas di India.

Selain itu, penyebaran nasihat kesihatan jangkitan virus Nipah untuk pengembara di pintu masuk Singapura juga akan dihentikan. Walaupun kami kembali ke tahap pengawasan asas, CDA akan terus berwaspada terhadap virus Nipah," katanya.

Menurut CDA, Kementerian Tenaga Manusia akan mengekalkan langkah pengawasan semasa di pusat ketibaan bagi pekerja asing yang baharu tiba.

"Pekerja sentiasa diingatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga terhadap virus Nipah, mengamalkan kebersihan diri yang baik, dan mendapatkan rawatan sekiranya tidak sihat," menurut kenyataan itu.

CDA berkata ia akan terus memantau situasi virus Nipah di peringkat global dan bersedia untuk melaraskan langkah kesihatan awam sekiranya terdapat maklumat baharu yang menunjukkan peningkatan risiko kesihatan awam kepada Singapura.

-- BERNAMA

Must Watch Video