Skip to main content

Bisnes

Krisis Penerbangan Negara: Ketika sayap terlalu berat, talian hayat mesti punyai visi

Analisis mendalam Laporan Khas AWANI menolak doktrin too big to fail bagi AirAsia susulan tekanan liabiliti dan kos bahan api. Mengangkat disiplin pasaran serta menegaskan peranan MAG dan Batik Air sebagai sauh penstabil ketersambungan negara tanpa bailout. - Gambar Bernama
Analisis mendalam Laporan Khas AWANI menolak doktrin too big to fail bagi AirAsia susulan tekanan liabiliti dan kos bahan api. Mengangkat disiplin pasaran serta menegaskan peranan MAG dan Batik Air sebagai sauh penstabil ketersambungan negara tanpa bailout. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketika Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat bahawa kerajaan tiada sebarang perjanjian atau komitmen kewangan untuk menyokong AirAsia, sama ada melalui jaminan pinjaman, pinjaman mudah, mahupun suntikan dana awam, satu isyarat dasar yang amat tegas telah dihantar ke pasaran.

Era menyelamatkan entiti komersial swasta menggunakan dana pembayar cukai sudah berakhir.

Walaupun syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) itu mengendalikan 41 peratus jumlah penumpang kebangsaan dan 75 peratus operasi di KLIA Terminal 2, saiz penguasaan pasaran tidak lagi boleh dijadikan tiket kekebalan automatik.

Advertisement

Pelantikan firma penasihat antarabangsa, Alton Aviation Consultancy oleh Kementerian Kewangan bagi meneliti kedudukan mudah tunai syarikat yang sedang memburu dana pembiayaan antarabangsa sehingga AS$1 bilion (kira-kira RM4.1 bilion), mengesahkan bahawa ruang udara negara sedang melalui fasa penilaian yang paling kritikal pasca-pandemik.

Pihak pengurusan syarikat bagaimanapun konsisten menafikan sebarang krisis ketidakupayaan operasi, menegaskan bahawa mereka memiliki kecairan yang mencukupi serta usaha pengumpulan dana berkenaan adalah semata-mata untuk penyatuan hutang dan pembiayaan semula komersial tanpa sebarang keperluan dana awam.

Advertisement

Namun di sebalik penafian tersebut, timbul perdebatan struktur yang jauh lebih mendasar: wajarkah pasaran dibiarkan membetulkan model perniagaannya sendiri, atau adakah ketersambungan mobiliti rakyat sekali lagi dijadikan pertaruhan?

Perangkap arbitraj kewangan: Bila pajakan menjadi jerat

Selama lebih dua dekad, formula pertumbuhan agresif LCC bersandarkan kepada satu instrumen utama: membuat tempahan pukal ratusan pesawat daripada pengeluar utama dunia bagi meraih diskaun skala besar, sebelum segera menjual dan memajak semula pesawat tersebut menerusi transaksi sewa-balik (sale-and-leaseback).

Ketika kitaran kadar faedah global berada pada paras lantai dan pasaran kredit dibanjiri kecairan, instrumen ini bertindak sebagai pemangkin pulangan tunai pantas.

Namun, apabila kitaran makroekonomi mengetat susulan pergolakan geopolitik, lonjakan harga bahan api jet global, serta tekanan ketidaktentuan tukaran mata wang asing (FX), model ini mula menampakkan beban komitmen sewaan yang berat ke atas kunci kira-kira operasi.

Bekas Pengarah Operasi Penerbangan Malaysia Airlines, Kapten Mohd Kamil Abu Bakar, menegaskan bahawa dalam operasi penerbangan sebenar, kebergantungan kepada pesawat sewaan tanpa diimbangi aset pemilikan sendiri mendedahkan syarikat kepada risiko kos tetap yang tinggi.

"Ia perlu seimbang. Pesawat milik sendiri melibatkan kos tetap yang boleh diurus, manakala pesawat pajakan memberi fleksibiliti — ia boleh diambil dan dilepaskan mengikut keadaan.

“Apabila tiba tempoh mencabar, syarikat boleh menamatkan pajakan. Kos pajakan boleh menjadi sangat mahal, dan ia hanya memberi pulangan jika pesawat itu digunakan sepenuhnya. Jika tidak beroperasi, syarikat akan menanggung kerugian,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

Langkah rasionalisasi armada dan penamatan pajakan pesawat membuktikan bahawa beban sewaan bukan sekadar catatan perakaunan, sebaliknya liabiliti tunai yang menuntut disiplin kos yang ketat tatkala hasil tidak mencukupi untuk menampung komitmen operasi.

Had penjimatan dan pendedahan risiko bahan api

Situasi menjadi bertambah mencabar apabila syarikat yang pernah berdepan kekangan penstrukturan kewangan terlepas peluang melaksanakan instrumen perlindungan nilai bahan api (fuel hedging) secara menyeluruh sebelum lonjakan harga berlaku.

Kapten Kamil menjelaskan bahawa bagi sesebuah syarikat penerbangan, bahan api menyerap sekitar 33 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan operasi harian.

Menghadapi kenaikan kos bahan api tanpa perlindungan nilai adalah cabaran besar yang tidak boleh diselesaikan semata-mata dengan mengurangkan penggunaan di udara.

"Ada hadnya syarikat penerbangan boleh menjimatkan bahan api. Kita tidak boleh mengarahkan juruterbang memotong penggunaan minyak sesuka hati.

“Mereka wajib mematuhi peraturan keperluan bahan api, dan kita tidak boleh berkompromi langsung dalam aspek keselamatan," jelas beliau.

Selain itu, sebahagian besar hasil tiket dikutip dalam mata wang tempatan rantau ini, sedangkan kos pajakan pesawat dan bil bahan api antarabangsa dinilai dalam Dolar Amerika.

Pengenaan surcaj bahan api kepada penumpang hanyalah penampan jangka pendek yang terhad sekiranya jurang tukaran mata wang terus memberi tekanan kepada aliran tunai.

Disiplin pasaran: Menyelamatkan laluan, bukan tanggung risiko korporat

Di Dewan Rakyat, pendirian mempertahankan disiplin fiskal turut disuarakan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim. Beliau secara terbuka mengingatkan bahawa dana awam tidak wajar dijadikan talian hayat bagi menanggung liabiliti syarikat komersial bermasalah yang dimiliki oleh tokoh korporat berprofil tinggi.

Mendepani kekangan defisit fiskal negara serta komitmen mengurus hutang awam, kerajaan tidak mempunyai ruang untuk campur tangan dalam risiko perniagaan swasta.

Kegagalan atau penstrukturan sesebuah entiti komersial tidak wajar disamakan dengan kelumpuhan industri pengangkutan secara keseluruhan.

Kapten Kamil menggariskan perbezaan yang amat jelas; tanggungjawab menjaga ketersambungan rakyat tidak bererti kerajaan perlu menyuntik dana tunai ke dalam entiti bermasalah.

"Kerajaan perlu mencari jalan untuk menyelamatkan keadaan, tetapi bukan dengan memberikan dana penyelamatan (bailout), bukan memberi mereka wang, sebaliknya melalui kaedah lain.

“Sebagai contoh, menawarkan laluan-laluan tersebut kepada syarikat penerbangan lain. Mereka boleh mengisi kapasiti tersebut supaya syarikat lain dapat bertahan dan ketersambungan kekal terpelihara,” jelasnya lagi.

Rasionalisasi laluan dan pengurangan kekerapan penerbangan adalah sebahagian daripada proses pembetulan pasaran yang lazim.

Apabila sesebuah syarikat terpaksa mengorbankan laluan yang tidak menguntungkan demi menghentikan pendarahan tunai, mekanisme pasaran terbuka membolehkan pengendali lain yang memiliki kapasiti mengisi kekosongan tersebut.

Sauh sestabilan: Disiplin Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG)

Perdebatan mengenai ketersambungan ini menyerlahkan kepentingan disiplin modal yang kini diamalkan oleh Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG).

Selepas melalui proses penstrukturan menyeluruh yang disahkan oleh mahkamah antarabangsa, syarikat penerbangan kebangsaan itu kini beroperasi atas asas kunci kira-kira yang bersih, berdaya tahan, dan disokong kedudukan aliran tunai positif.

Menerusi strategi dwi-jenama yang menggabungkan perkhidmatan penuh Malaysia Airlines dan sayap jet serantau Firefly, bersama-sama sokongan pengendali domestik lain seperti Batik Air, ekosistem penerbangan negara memiliki penampan operasi yang kukuh.

Koridor kritikal rentas Laut China Selatan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak tidak boleh terdedah kepada risiko ketidaktentuan jadual akibat tekanan kecairan syarikat swasta.

Bagi perancangan jangka panjang negeri seperti penubuhan syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak, Kapten Kamil melihat ia memerlukan masa.

Beliau mengingatkan bahawa merangka pelan adalah satu perkara, namun memperoleh armada pesawat fizikal di tengah-tengah krisis rantaian bekalan global memakan masa bertahun-tahun.

Dalam tempoh peralihan ini, MAG kekal sebagai satu-satunya sauh kedaulatan yang stabil untuk memastikan mobiliti rakyat tidak terjejas tanpa menuntut pengorbanan dana pembayar cukai.

Asas etika dan pengajaran industri

Ketahanan sektor penerbangan sesebuah negara tidak dinilai melalui kepantasan mengumumkan pesanan pesawat di pameran udara antarabangsa.

Kestabilan sebenar diukur melalui keupayaan sesebuah syarikat mengemudi cabaran operasi dengan asas kewangan yang kukuh, tadbir urus beretika, dan rizab tunai yang tulen.

Kenyataan Kapten Kamil mengenai etika komersial, termasuk ketelusan menguruskan kutipan caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang sepatutnya diserahkan kepada pengendali lapangan terbang dan kewajipan menyelesaikan hutang, merupakan peringatan penting mengenai tatakelola korporat yang bertanggungjawab.

Pasaran penerbangan Malaysia kini berada pada trajektori yang betul. Dengan pendirian tegas kerajaan menolak sebarang bentuk bailout, industri dipandu kembali kepada prinsip ekonomi yang berpijak di bumi nyata.

Disiplin pasaran mesti dipertahankan: biarkan risiko komersial ditanggung oleh pemilik modalnya sendiri, dan sandarkan kedaulatan ruang udara negara kepada entiti yang terbukti berdaya tahan.

Bagi melihat visualisasi dan perincian audio-visual yang melatari analisis ini, tonton pakej video Laporan Khas AWANI: Ketika sayap terlalu berat, ujian graviti buat penguasa udara.

 

 

Must Watch Video

Advertisement