KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP bukan lagi pemegang saham kumpulan perkhidmatan minyak dan gas yang berdepan masalah, Serba Dinamik Holdings Bhd.

"KWAP telah melepaskan seluruh pegangannya dalam Serba Dinamik dan bukan lagi pemegang saham," kata dana pencen itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu adalah sebagai reaksi kepada artikel yang diterbitkan oleh The Edge pada Khamis lalu, bertajuk "Pengerusi eksekutif SC letak jawatan enam bulan selepas lanjutan tiga tahun".

Menurut pemfailan bursa, KWAP telah tidak lagi menjadi pemegang saham besar Serba Dinamik pada 1 Jun tahun lepas selepas melupuskan 26.03 juta saham dalam syarikat itu dalam pasaran terbuka.

Sebelum penjualan itu, KWAP  memegang 195.04 juta saham atau 5.257% kepentingan pada 27 April 2021.

Dagangan dalam sekuriti Serba Dinamik di Bursa Malaysia telah digantung sejak 22 Okt tahun lepas. Saham itu kalu terakhir didagangkan pada 35 sen setiap satu.

Akta KWAP membenarkan pelaburan berdasarkan peruntukan aset untuk pendedahan domestik dan antarabangsa seperti ekuiti, sekuriti pendapatan tetap, instrumen pasaran wang dan lain-lain bentuk pelaburan yang telah disemak oleh Panel Pelaburan dan mendapat kelulusan Lembaga. Pelaburan KWAP juga menyokong ESG dan pematuhan syariah.

Sejak akhir tahun 2015, KWAP bertindak sebagai ejen Kerajaan Persekutuan bagi tujuan pembayaran pencen, ganjaran atau faedah lain yang diluluskan di bawah mana-mana undang-undang bertulis untuk dana yang disatukan sebagaimana yang dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dan KWAP, manakala dasar pencen diuruskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam. - DagangNews.com