Ringkasan AI
- Kenanga Investment Bank Bhd menaikkan unjuran pertumbuhan eksport Malaysia 2026 kepada 40 peratus, didorong pertumbuhan kukuh setakat tahun ini sebanyak 37.1 peratus.
- Bank itu menyatakan pelaburan berkaitan AI dan permintaan elektrik dan elektronik menyokong eksport, namun risiko seperti dasar perdagangan AS dan ketegangan geopolitik kekal.
- Unjuran pertumbuhan KDNK 2026 dikekalkan pada 5.3 peratus, dengan permintaan dalam negeri sebagai pemacu utama dan sumbangan eksport bersih terhad.
KUALA LUMPUR: Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) menaikkan unjuran pertumbuhan eksport Malaysia bagi tahun 2026 kepada 40 peratus daripada 35 peratus, disokong oleh pertumbuhan kukuh setakat tahun ini (YTD) sebanyak 37.1 peratus.
Dalam satu nota pada Jumaat, bank pelaburan itu memaklumkan bahawa ia telah menaikkan unjurannya berikutan angka bulan Oktober yang lebih kukuh berbanding jangkaan, serta trend peningkatan berterusan dalam sektor teknologi global.
Menurut bank pelaburan itu lagi, pertumbuhan eksport YTD meningkat kepada 37.1 peratus tahun ke tahun (Januari-September: 34 peratus) dan momentumnya kekal kukuh.
“Pelaburan dan penggunaan yang didorong kecerdasan buatan (AI) dijangka terus menyokong permintaan bagi elektrik dan elektronik, manakala kitaran semikonduktor terus mengatasi jangkaan,” jelas Kenanga IB.
Menurut Kenanga IB, momentum eksport jangka pendek adalah menggalakkan, namun risiko tetap wujud.
“Unjuran kami memerlukan pertumbuhan eksport kira-kira 50 peratus pada November dan Disember, sekali gus bermakna ruang bagi sebarang kemerosotan adalah sangat terhad.
“Antara cabaran utama termasuk ketidaktentuan berhubung dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) kembali berulang, pertumbuhan global yang lebih perlahan susulan harga tenaga yang lebih tinggi, keadaan monetari yang ketat, ketegangan geopolitik dan harga komoditi yang tidak menentu,” katanya.
Kenanga IB turut menyatakan bahawa kitaran pelaburan AI yang semakin perlahan mungkin menjejaskan permintaan terhadap produk elektronik, import barangan modal dan barangan perantaraan yang berkaitan.
“Sekatan terkini Amerika Syarikat terhadap cip AI berprestasi tinggi telah mengakibatkan 117 projek pusat data yang diluluskan di Malaysia tertakluk kepada penelitian pematuhan yang lebih ketat, sekali gus menjadikan pelaburan masa depan dan memberi risiko kepada aliran perdagangan,” menurut bank pelaburan tersebut.
Sementara itu, mengenai prospek keluaran dalam negara kasar, bank itu mengekalkan unjuran pertumbuhan bagi tahun 2026 pada kadar 5.3 peratus (2025: 5.2 peratus), dengan prestasi eksport yang lebih kukuh, tetapi import turut meningkat pada kadar yang hampir sama, sekali gus mengehadkan sumbangan daripada eksport bersih, manakala permintaan dalam negeri kekal sebagai pemacu utama.
-- BERNAMA