CYBERJAYA: Kutipan cukai langsung kasar negara bagi tempoh 10 bulan pertama tahun 2026 meningkat sebanyak 5.8 peratus kepada RM174.48 bilion, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jumlah tersebut, kata Perdana Menteri, mencatatkan peningkatan berbanding RM164.92 bilion yang direkodkan bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Anwar berkata, lonjakan hasil itu didorong oleh penambahbaikan kecekapan pentadbiran percukaian, khususnya melalui pelaksanaan berperingkat sistem e-Invois oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL).
"Sehingga 2 November 2026, sebanyak 2.14 bilion e-Invois telah dikemukakan oleh sekitar 269,900 pembayar cukai.
"Melalui usaha pematuhan yang diperkukuh dengan penggunaan data e-Invois, lebih 97,000 pembayar cukai tampil mengemukakan borang nyata bagi tahun-tahun terdahulu secara sukarela dengan cukai kena bayar berjumlah RM1.68 bilion," katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sempena sambutan Hari Inovasi dan Integriti HASiL 2026, di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan, kutipan hasil yang kukuh dan mampan amat penting bagi mendepani persekitaran ekonomi global tahun 2027 yang dijangka terus berdepan cabaran geopolitik dan tekanan kos sara hidup.
Justeru, jelas beliau, kedudukan hasil yang cekap diperlukan bagi menyokong pembiayaan Belanjawan MADANI Kelima 2027 yang menggembleng sumber berjumlah RM510 bilion demi merancakkan pembangunan serta membela kebajikan rakyat.