AYER MOLEK: Isu projek terbengkalai di Melaka bukan hanya membabitkan pentadbiran kerajaan negeri ketika ini, sebaliknya turut diwarisi daripada beberapa kepimpinan terdahulu, termasuk ketika negeri itu diterajui pihak lawan.
Penyandang Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pelaksanaan projek pembangunan melibatkan proses panjang yang merentasi beberapa pentadbiran negeri.
Menurutnya, perkara itu perlu difahami susulan persoalan yang dibangkitkan pihak lawan berhubung 51 projek yang didakwa terbengkalai di negeri berkenaan.
"Perjalanan projek ini adalah satu perjalanan yang terlalu panjang. Ianya diwarisi dari satu ketua menteri kepada satu ketua menteri.
"Termasuk sahabat kita yang pernah jadi ketua menteri. Sahabat sebelah sana (Pakatan Harapan)," katanya ketika ditemui media selepas melawat Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Taman Tambak Paya Harmoni, di sini, hari ini.
Ab Rauf menjelaskan, projek pembangunan berkenaan melibatkan pelbagai kategori termasuk projek kerajaan Persekutuan serta inisiatif pelaburan swasta.
Katanya, projek Persekutuan diselaraskan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, manakala projek swasta bergantung kepada kemampuan kewangan syarikat terlibat.
Beliau mengambil contoh projek Monorel Melaka dan pembangunan tambak laut yang menurutnya merupakan antara inisiatif swasta yang diberikan konsesi kepada pelabur.
"Kebanyakan projek terbengkalai di Melaka macam orang kata projek monorail, projek-projek Tambak Laut itu adalah projek private initiative yang telah diberikan konsesi kepada syarikat-syarikat yang nak melabur di Melaka.
"Mungkin mereka tidak mempunyai keupayaan kewangan setelah melalui beberapa proses kejatuhan ekonomi dunia yang menyebabkan projek itu terbengkalai," jelasnya.
Bagaimanapun, Ab Rauf menegaskan, beliau tidak berhasrat menyalahkan mana-mana pentadbiran terdahulu, sebaliknya, mahu memberi tumpuan kepada usaha pemulihan projek bermasalah.
"Saya sudah berjanji tak nak cari salah orang dan kita faham masalah tu berada di mana. Mungkin tak ada bajet lagi ke, mungkin tidak dapat diurus dengan baik menyebabkan menjadi projek sakit," katanya.
Beliau turut memberi jaminan usaha memulihkan projek terbengkalai akan diteruskan secara beransur-ansur mengikut kesesuaian ekonomi semasa sekiranya diberikan mandat baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Turut hadir, calon Perikatan Nasional (PN) DUN Bukit Katil, Ridzuan Sharif dan calon Barisan Nasional (BN) DUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.
Terdahulu, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari mendesak projek terbengkalai termasuk Monorel Melaka yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM16.5 juta dan pembangunan Arab City dinilai semula bagi menentukan hala tuju pemulihannya.
Adly menegaskan, rakyat berhak mengetahui jumlah wang yang dibelanjakan, pihak bertanggungjawab serta kedudukan aset berkenaan, selain mahu penilaian dilakukan tanpa mengira pentadbiran yang meluluskan projek tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Setiausaha Agung PKR, G Sivamalar turut menuntut penjelasan status 55 projek pembangunan negeri yang dilaporkan belum dimulakan pada Jun 2025, termasuk jumlah yang telah disiapkan atau masih tertangguh.
Dalam perkembangan berbeza, Ab Rauf memaklumkan, manifesto Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Melaka akan dilancarkan pada 5 petang Jumaat ini (6 November) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).