Skip to main content

Malaysia

Rafizi hadir ke Bukit Aman bantu siasatan ceramah di Selayang

Rafizi yang juga pengasas Parti Bersama Malaysia (Bersama) tiba pada 10.57 pagi dengan ditemani tiga peguam, iaitu Nik Zarith Nik Mustapha, Adi Zulkarnain Zulkafli dan Wan Ahmad Qushairi Adzmi. -Gambar fail/Astro AWANI
Rafizi yang juga pengasas Parti Bersama Malaysia (Bersama) tiba pada 10.57 pagi dengan ditemani tiga peguam, iaitu Nik Zarith Nik Mustapha, Adi Zulkarnain Zulkafli dan Wan Ahmad Qushairi Adzmi. -Gambar fail/Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli hadir di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman di sini hari ini bagi memberikan keterangan berhubung ucapannya pada ceramah di Selayang, Selangor, bulan lepas.

Rafizi yang juga pengasas Parti Bersama Malaysia (Bersama) tiba pada 10.57 pagi dengan ditemani tiga peguam, iaitu Nik Zarith Nik Mustapha, Adi Zulkarnain Zulkafli dan Wan Ahmad Qushairi Adzmi.

Semalam, Rafizi menerusi kenyataan mengesahkan menerima notis daripada polis untuk hadir bagi dirakam keterangan susulan laporan yang dibuat pada 22 Okt berhubung ceramah pada 20 Okt.

Advertisement

Rafizi berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan bagi kesalahan fitnah jenayah serta Seksyen 505 kanun sama kerana mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Notis siasatan polis itu antara lain berkait ucapan ceramah yang didakwa membangkitkan beberapa dakwaan termasuk isu berkaitan mafia korporat serta dakwaan pembayaran wang berjumlah RM9.5 juta kepada seorang pemimpin politik.

Advertisement

Dalam pada itu, Rafizi memaklumkan dirinya bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan dan sanggup membatalkan program kempen di Melaka untuk memberikan keterangan hari ini.

Sementara itu, Rafizi yang ditemui pemberita selepas proses itu selesai pada 1.05 tengah hari berkata kehadirannya bagi membantu siasatan berhubung dua kes susulan laporan polis yang berbeza.

Selain siasatan berkaitan ceramah di Selayang, Rafizi berkata turut dirakam keterangan berhubung laporan polis pada Mac lepas mengenai isu pemilikan saham membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

“Sebab itu sesi keterangan mengambil masa agak panjang (hampir dua jam) kerana ada dua kes berbeza,” katanya.

Rafizi berkata kes kedua disiasat mengikut Seksyen 500 kanun sama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail semasa ditemui pada Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik dan Profesional PDRM 2026 di Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras, di sini berkata kenyataan rasmi berkaitan siasatan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement