Skip to main content

Malaysia

Kes MB Negeri Sembilan: AGC minta PDRM lengkapkan kertas siasatan

AGC memaklumkan kertas siasatan ke atas Ismail (foto) akan dikembalikan semula kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut. -Gambar fail/Bernama
AGC memaklumkan kertas siasatan ke atas Ismail (foto) akan dikembalikan semula kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mendapati beberapa tindakan lanjut perlu dilaksanakan oleh Pegawai Penyiasat sebelum sebarang keputusan dapat dibuat berhubung kes melibatkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.

Dalam kenyataan media pada Selasa, AGC memaklumkan kertas siasatan berkenaan akan dikembalikan semula kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

"AGC telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan PDRM pada 30 Oktober lalu berhubung insiden membabitkan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Advertisement

“Hasil penelitian menyeluruh mendapati beberapa tindakan lanjut perlu dilaksanakan oleh Pegawai Penyiasat sebelum sebarang keputusan dapat dibuat.

“Oleh yang demikian, kertas siasatan akan dikembalikan semula kepada PDRM pada hari ini (Selasa) untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

Advertisement

Siasatan berkenaan dibuka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan selepas Ismail mendakwa beliau menandatangani proklamasi berkaitan pertukaran kedudukan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di bawah pengaruh tidak wajar.

Pada 9 September lalu, Ismail mendakwa beliau telah dipaksa menandatangani dokumen Surat Cara Proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Beliau turut mendakwa dokumen berkenaan ditandatangani tanpa kerelaannya dan mengesahkan laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat.

Pada 29 September lalu, Kertas Enkuiri Polis (KEP) atau kertas siasatan berkaitan laporan berkenaan dirujuk kepada AGC untuk penelitian lanjut.

Must Watch Video

Advertisement